Hari ini Hari Buku. Rata-ratanya di media, di akhbar berkisah tentang buku. Dalam Radio Sinar Fm pagi tadi, juga memperkatakan tentang perkara yang sama. Sambil memandu dan mendengar stesyen radio pilihan hati itu, saya teringat kembali sebuah buku yang sangat berkesan di hati saya, Hartini.
Inilah rupa kulit novel sewaktu pertama kali saya membacanya. Sumber Google |
Buku karya penulis tersohor Allahyarham Aziz Afkar ini pertama kali saya baca pada umur 12 tahun. Pada ketika itu tiada yang menarik perhatian saya kecuali judul bukunya yang mirip kepada nama kakak saya. Namun apabila helaian demi helaian saya baca, saya seolah-oleh melihat satu drama menjelma. Setiap watak, setiap suasana ditulis dengan terperinci. Seakan kita benar-benar wujud diantara watak Amli dan Hartini.
Sebagai seorang kanak-kanak yang mula meniti usia remaja, walaupun novel itu bersifat sarat tetapi saya masih boleh menghayati perjalanan cerita. Maksud saya, ayat-ayat yang digunakan sangat jelas, tidak berdasarkan khayalan terlampau, malah melambangkan kejujuran penulis yang begitu sederhana orangnya. Pada waktu itu, saya membayangkan bahawa saudara Amli itu sendiri adalah penulis.
Seperti orang lain juga (saya yakin) juraian air mata adalah luahan hati setelah tamat membacanya. Saya ingat lagi, selepas itu saya termenung memikirkan seandainya saya ada di dunia itu, akan saya sambungkan ikatan yang terputus antara Amli dan Hartini. Saya sanggup berusaha meyakinkan Amli bahawa tidak salah untuk berjuang demi cinta. Akan saya yakinkan Hartini bahawa tidak salah jika membuka rasa hati.
Sudah beberapa tahun lamanya saya tidak membaca buku ini tetapi jalan ceritanya masih terpahat di ingatan. Bukunya pun mungkin masih ada dalam gerobok lama di kampung (tidak pasti). Tetapi saya harap buku ini sentiasa diingati. Terutama kepada pencinta novel cinta atau pembaca yang gemar kepada cerita kehidupan.
Al-Fatihah kepada Allahyarham Aziz Afkar. Semoga Allah menempatkannya disamping orang-orang yang saleh dan beriman.
1 comment:
Kena cari balik n baca semula buku ni. Aku dah lama tak baca buku Melayu.
Al-Fatihah juga untuk Aziz Afkar.
Post a Comment