Dulu-dulu, saya ingat lagi mak saya sediakan pulut kuning dalam mangkuk tingkat untuk hari pertama saya dihantar mengaji quran. Lauk peneman ialah sardin sambal. Kiranya masa tu dah dikira satu hidangan yang agak mewah. Semua kawan-kawan makan dengan semangatnya. Itulah juga permulaan saya mendapat kawan baru dan membuka semangat nak mengaji dengan lebih pantas dari orang lain. Selain itu, pulut kuning juga akan menjadi hidangan hampir setiap kali saya menyambut ulang tahun kelahiran masa zaman kanak-kanak. Justeru, saya ingin sekali kali ini pulut kuning kekal dalam hidangan di hari majlis bahagia.
Sebagai permulaan, saya telah dapatkan contoh pulut kuning yang telah dihiaskan menerusi carian google. Ini penting supaya orang yang akan bertanggungjawab tahu macamana nak hiaskan pulut ini. Mesti ada telur sebagai hiasan. Seperti di bawah.
Kalau 2 tingkat pulak, mungkin yang di bawah ni lebih sesuai dengan kehendak saya. Ada telur. Ada lauk diletakkan sekali.
Ishkk...tengok gambar pun dah rasa berselera. Yang macam ni cantik dipandang, macam sedap untuk dirasa. |
Saya nak cadangkan pada mak supaya meja pengantin serta hidangannya akan diuruskan oleh mak-mak sedara saya. Saya percaya mereka ada kebolehan menghias tetapi tidak diketengahkan semasa menghadiri majlis kenduri keluarga. Kali ini, saya nak minta mak maklumkan kepada mereka. Mohon untuk kerjasama. Saya yakin, mereka berbangga untuk membantu. Kalau kita minta, Insyaallah mereka mau menghulur tenaga.
Saya mau, majlis saya nanti tempat penyatuan keluarga jauh dan dekat, tempat membaja kemesraan yang kian kering dek edaran waktu, tempat mencurahkan kasih sayang dan prihatin antara satu sama lain. Mungkin pulut kuning ini dapat menjadi salah satu alat kepada tujuan itu. Sebab hujan sehari kadang-kala dapat membasah kemarau setahun...ewah...
No comments:
Post a Comment