“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”

5 September 2012

Sepakat membawa berkat

Khamis minggu lepas staf di pejabat buat gotong-royong mengemas tempat kerja masing-masing. Mereka yang mohon kebenaran berbuat demikian, bukan disebabkan arahan atau rungutan sesiapa. Barangkali mereka inginkan suasana baru yang lebih selesa. Ataupun nak menambah keserasian bekerja.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
 
Sejuk hati saya memandang mereka melakukan kerja secara bersama. Teringat sewaktu saya bekerja di tempat lama. Apabila sama-sama melakukan kerja, segala kekusutan hati hilang. Diselang-seli dengan usik-mengusik dan gelak ketawa. Walaupun asalnya dalam hati ada selumbar yang pernah menikam. Faham maksud saya? Hehehe...
 
Manusia tidak pernah lepas dari membuat kesalahan. Bila berlaku, kita cepat-cepatlah minta maaf. Terutama di tempat kerja yang melibatkan kawan-kawan yang tiada pertalian darah. Kalau saudara-mara, air dicincang tidak akan putus. Tetapi kalau dengan kawan-kawan, andai kata mereka berat untuk memaafkan, berat juga untuk kita mendapat rezeki dan kegembiraan semasa bekerja.
 
Rakan sekerja umpama cermin diri kita. Jika kita membuatkan mereka gembira, maka kita juga akan gembira. Kalau melihat kita membuatkan mereka serabut fikiran dan membantutkan semangat kerja, nescaya kita juga akan rasa begitu.
 
Pendek kata, cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Saya ingat pesan Kak Na, bos saya yang paling banyak memberi impak dalam membentuk peribadi saya sebagai pekerja. Kita bekerja sebagai satu pasukan. Tiada istilah hang, hang atau aku,aku. Anggaplah rakan kerja sebagai adik-beradik. Susah sama-sama. Senang sama-sama. Sesekali bertengkaq ka...bergaduh ka...tak pa. Lepaih tu bebaik la. Jangan melarat sampai menjadi dendam. Tak rugi kalau kita sayang kawan-kawan.  

Sebenarnya kita tidak pernah keseorangan walaupun kita sendiri yang berasa demikian. Kawan-kawan adalah sama pentingnya dengan diri sendiri. Andai mereka salah arah, tegurlah dengan berhemah. Bimbing mereka ke arah yang betul. Andai mereka salah, maafkanlah dan teruskan persahabatan.

Mengkritik itu boleh, tetapi biarlah wajar. Ada caranya untuk melempiaskan rasa di hati. Bukan membuat komen berterusan tidak berpada. Namun saya percaya, setiap manusia wajar diberi peluang kedua. Sekurang-kurangnya kita memberi peluang untuk memahami mereka dan kita sendiri. Kita bukan manusia hebat tanpa mereka. Kesepakatan bersama pasti memberi berkat kepada semua.