“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Showing posts with label Dia di hati. Show all posts
Showing posts with label Dia di hati. Show all posts

15 June 2014

Si Cayang Mama

Dah lama tak update pasal Eimran kan. Dia masih belum berjalan lagi. Tapi bab berguling-guling memang aktif. Boleh round satu rumah dengan berguling jer hehe... Kesempatan ke Terengganu awal bulan Mei tempohari kami bergambar di beberapa tempat. Tengok dalam gambar macam dah besar. Tapi depan mata, rasa dok kecik sokmo. Asyik kena kepit je dengan mama dan ayah. Hmmm...layan gambar-gambar ni ok.
 




Momento bersama cik Rus


 
 
 

10 October 2012

Di telapak kaki bonda

Saya jarang mendapat kesempatan untuk berdampingan dengan Mama sejak tamat bersekolah. Kehidupan saya kian menjarakkan kami berdua tatkala saya mula melanjutkan pelajaran ke IPT. Kemudian saya terus bekerja dari satu tempat ke satu tempat. Sehinggalah sekarang saya menetap di utara.
 
Kesempatan selepas berkahwin dan kembali menetap di rumah sendiri, peluang inilah yang diambil untuk Mama tinggal bersama saya. Mama dah lama teringin nak datang ke utara. Sebelum ini saya berulang-alik ke Penang. So, agak susah untuk bawa dia bersama kerana saya menyewa bilik di sana dan hanya pulang tika hujung minggu. Tapi bila dah dapat kembali ke rumah sendiri, saya rasa inilah masa yang sesuai dia tinggal sekali.

Tinggal bersama orang tua tatkala kita telah dewasa, sangat berbeza waktu kita tinggal bersama mereka semasa kecil. Kali ini, kita pula yang perlu lebih memahami kerenah dan punya kesabaran yang tinggi untuk melayan kemahuannya. Memandangkan telah 12 tahun arwah Baba meninggalkan kami, saya lihat Mama sebagai seorang ibu yang kesunyian yang perlu lebih perhatian dari segi emosi dan fikiran.

Mama saya
Hampir setiap hari Mama akan memasak dan menunggu saya pulang kerja untuk makan bersama. Adakalanya saya tidak benarkan dia memasak. Tetapi kata beliau, dia suka begitu. Jadi saya biarkan sahaja. bimbang kalau disekat, merajuk hati. Walau kenyang makan di pejabat, di rumah saya tetap makan untuk menjaga hati Mama. SiDia pun saya beritahu perkara yang sama. Orang tua kalau dah terasa, susah untuk dipujuk. SiDia saya tu, rajin melayan. Kehendak yang keluar dari bibir Mama, dia segera usahakan. Terutama jika Mama teringin makan sesuatu.

Pernah saya mengingatkan,"Mama tu kena pantang. Bukan boleh makan sebarangan."
Jawab Mama," tak larat nak pantang dah. Time nak sakit, sakit juga."
Saya diam. Dalam hati, kata-kata Mama ada benarnya.

Waktu makan-makan di Kuala Perlis


Seronok tengok Mama berselera

 
Makan ketam masak kicap
Itu time OK. Ada ketika, dia berserabut memikirkan sesuatu, emosinya juga terganggu. Waktu itu, bersedialah "urut" cuping telinga. Kita yang tiada kena-mengena pun termasuk dalam leterannya. Namun saya tidak terusik dengan leteran itu. Biasalah...manusia adalah unik. Tak perlu kita fikir keterlaluan. Memadai hanya menggangap itu perkara normal dan berlaku pada semua orang.

Bagi saya, biarlah saya manafaatkan kesempatan yang ada bersama beliau. Entah dia yang dulu "pergi", atau saya lebih awal daripadanya. Saranan saya, walau anda ada mama atau baba yatau sesiapa pun orang yang anda sangat sayang, hargailah dia ketika masih ada. Tunjukkan kasih sayang anda yang tulus itu. Belailah jiwanya. Kadang-kadang bukan harta yang mereka minta, tetapi sentuhan cinta kita yang dapat menyuburkan hatinya.

7 March 2012

Dia...

Namanya Nurul Aida. Tapi saya lebih senang memanggil nama lucunya Noi. Dia memang tangan ke-3 saya untuk persiapan perkahwinan. Tanpa dia, saya pasti tewas mencipta dan menghias barangan hantaran. Idea Noi memang meletop! Tanpa ada latihan khusus dalam bidang andaman, hasil kerja Noi memang patut diberi pujian.

Saya mula bercuti seawal 2 minggu sebelum majlis. Sejak itu, Noi sudah mula membantu apa yang perlu. Hampir saban malam dia datang ke rumah ditemani ibunya, Makcik Yam.  Kedua-dua mereka sama-sama menggali idea. Sehinggakan Mama bimbang sekiranya Angah (suami Noi) marahkan dia kerana kesunyian di rumah. Tapi Noi kata Angah memahami. Kadang-kadang Angah sendiri yang menghantar Noi datang. Kadang-kadang saya sendiri yang menghantar dia pulang.

Berganding bahu membuat hantaran tuala
Pose istimewa dengan hasil ideanya



Kata mama, macam taman mini
Tuala buah-buahan
Suka untuk saya wawarkan kebolehan Noi. Kalau anda tinggal di sekitar Chini, Muadzam, Keratong mahupun Paloh Hinai sehingga ke Salong, dan perlukan khidmat menggubah, boleh hubungi beliau. Dari segi kos juga murah kerana Noi sangat sukakan kerja ini kerana minat yang tak bertepi.

Sepanjang tempoh 2 minggu itu, Noi tidak henti-henti mencurah idea bagaimana untuk menggayakan hantaran. Saya serah sepenuhnya kepada beliau. Tidak berhenti di situ, Noi turut mencipta rekaan untuk hiasan inai malah dia juga yang menginaikan jari-jemari saya. Di hari perkahwinan, Noi jugalah yang menjadi pengapit dari awal majlis sehinggalah selesai sesi fotografi.


Mantan mempelai mengenang memori lama

Budi Noi sekeluarga sampai mati pun tidak mampu dibalas. Jasa Tok Majid (bapanya) yang membantu menguruskan permohonan pernikahan serta Makcik Yam yang mencurahkan masa, tenaga dan segala-galanya...alahai tak mampu untuk saya senaraikan.

Sempat pose sebelum majlis nikah
Nota: Berita terkini yang saya terima, Noi keguguran beberapa minggu yang lalu. Saya turut simpati di atas kehilangan itu. Apatah lagi kakak beliau baru kematian bayi yang beberapa bulan dilahirkan. Saya percaya itulah dugaan kepada orang yang baik-baik seperti mereka. Allahu akbar!

6 March 2012

Ayah Ngah

Saya berpendapat, adalah amat perlu untuk saya paparkan individu yang jarang saya temui pada hari-hari biasa dalam hidup. Tambahan pula mereka hadir ke majlis saya. Hadir meraikan dan memberi restu untuk kebahagian.


Othman b. Bakar
Saya dan adik-beradik menggelarkan beliau sebagai Ayah Ngah. Beliau adalah adik arwah Baba dan tinggal di Bukit Goh, Kuantan. Saya tak pasti berapa umurnya tetapi keadaannya agak uzur kerana umur dan penyakit yang dihidapi. Kehadiran beliau tidak dijangkakan. Tetapi yang membuatkan saya terharu, dia sudi naik ke pelamin untuk merenjis. Dia dipegang oleh Cu (Abdul Rahman b. Bakar) dan Mak Ndak (Azizah bt. Bakar) berjalan perlahan-lahan (pernah diserang angin ahmar) menuju kepada saya. Hanya Allah yang tahu sebak hati saya ketika itu. Apatah lagi bila membayangkan seolah-olah beliau itu adalah arwah Baba.

Saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir saya bertemu Ayah Ngah sebelum ini. Kalau dulu, arwah Baba rajin membawa kami menziarahi kaum keluarga. Namun sejak arwah meninggal, hubungan saudara kian renggang. Tambahan pula kami kian dewasa dan sibuk dengan kehidupan masing-masing. Kejam alasan itu bukan?

Sesungguhnya saya gembira Ayah Ngah datang. Saya gembira dapat kembali melihat wajahnya. Wajah senyum itu mirip sekali arwah Baba. Alhamdulillah...jika tidak kerana majlis ini, saya sendiri tidak pasti bila akan bertemu beliau.

Semoga Allah berikan keberkatan dan rahmat kepada Ayah Ngah dan seluruh ahli keluarganya; Mak Ngah Endon, Abang Naza, Abang Nazri, Kak Na, Arif, Kak Ni, Sitah dan Mimi...Amin.