“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”

30 October 2012

Bulan madu di Kinabalu - Prolog

Tajuk entry kali ini macam slot drama pulakkan...hehe. Sebenarnya itu adalah perancangan untuk tahun 2013. Tahun ini kami telah ke Terengganu. Sebab itu tahun depan nak ke sana pula...seberang laut. Tapi belum sampai tahap ke luar negara. Kewangan masih belum mengizinkan. Tetapi doa saya, bulan madu akan datang dapat juga ke luar negara, InsyaAllah.
 
Lanjutan daripada AirAsia telah buat jualan tambang murah awal minggu ini, saya telah menempah tiket ke Kota Kinabalu pada bulan Mei tahun depan. Kosnya memang amat murah berbanding harga semasa. Justeru, setelah puas mengambil kira dari semua segi, saya sahkan tempahan penerbangan untuk saya dan SiDia. InsyaAllah, penerbangan kami bermula dari Alor Setar - Kuala Lumpur - Kota Kinabalu. Lebih jimat masa dan kurang memenatkan. Tujuan utama hanya untuk berbulan madu, menghabiskan masa berdua. Menikmati bersama dunia ciptaan Allah.
 
Sebagai pembakar semangat, saya sudah letakkan ticker di sebelah kanan sana. Bila sudah ada tiket ini, mulalah idea bercuti datang mencurah-curah. Kena ambil perhatian terhadap perkara asas seperti penginapan, makan-minum, pengangkutan serta tempat-tempat menarik yang berbaloi dikunjungi. Maklumlah percutian masa singkat. Hanya 3 hari 2 malam. Kalau ikut hati nak pergi lama. Tetapi ada kekangan lain. Tak mengapalah...asalkan dapat menjejak kaki pun sudah memadai.
 
Teringin nak bergambar berlatarbelakang Gunung Kinabalu
Tempat yang paling saya teringin pergi sudah pasti Kundasang. Nak tengok Gunung Kinabalu secara nyata. Nak panjat...ermm memang tak mampu. Teringin nak rasa nyaman bayu gunung. Nak hirup udara segar tanah tinggi.
 
InsyaAllah...
 
 
 

23 October 2012

Masak lemak kuning jantung pisang

SiDia dalam proses membersihkan kebun dan membawa pulang dua biji jantung pisang ke rumah. Mama dengan segera mendapat idea nak masak apa. Saya? Idea makan je...hehe. Bukan sengaja menyusahkan Mama, tetapi sepanjang dia tinggal bersama memang saya tidak sekat seleranya. Biarlah dia makan apa yang teringin tanpa skip makan ubat. Sekiranya berlaku apa-apa, tidaklah rasa terkilan di hati.
 
Ok, seperti tajuk entry, lauk peneman makan nasi tengahari ialah masak lemak kuning jantung pisang. Resepinya mudah saja.
 
 
Bahan-bahan
2 biji jantung pisang
RM2 santan (1/2 biji kelapa kot)
1 batang serai
5 biji cili padi
1cm kunyit hidup
1 biji buah keras
sedikit ikan bilis
garam ikut rasa
 
Cara memasak
Jantung pisang perlu dibuang kulit merahnya sehingga tinggal kulit putih kekuningan. Kemudian, potong empat dan direbus sekejap (5-10 minit). Sementara itu tumbuk cili padi bersama buah keras dan kunyit hingga lumat. Kemudian tumbuk kasar ikan bilis dan serai dalam lesung yang sama. Resepi ini memang tidak gunakan bawang so tak perlu letakkan. Bila jantung pisang dah lembut, hiris melintang agak-agak lebar 1cm. Setelah selesai, masukkan kembali ke dalam periuk dan isikan santan. Kemudian, masukkan bahan yang telah ditumbuk dan barulah dinyalakan api dapur.
 
Gunakan api sederhana dan kacau sekali-sekala untuk mengelakkan santan pecah minyak. Bila kuah dah menggelegak, boleh la dipadamkan api dan siap dihidang.
 
Nota: Kalau ikut cara Mama, jantung pisang juga sedap dibuat masak lemak putih. Caranya juga sama cuma cili padi digantikan dengan lada hitam. Nak sedap lagi ditambah dengan isi ikan bakar atau ikan rebus. Mantopp!
 
Selingan: Mama bergambar dengan anak buah saya
 

14 October 2012

Kebun mini belakang rumah

Inilah kebun saya.


Tidaklah seluas mana
Pokok kari, kuchai, lada, , cekur manis, limau purut dan limau kasturi.

Saya mula bercucuk tanam ni sudah lama. Sebelum pergi ke Pulau Pinang. Tetapi masa tu, tidak dapat tumpukan sepenuh perhatian kerana hanya pulang pada hujung minggu. Pokok-pokok seakan hidup segan mati tak mahu. Sekarang, bila dah menetap di sini sepenuh masa, saya boleh uruskan kembali kebun mini ini.
 
Pokok kunyit yang kurang sihat
Walaupun bersaiz mini, tetapi sumbernya memadai untuk hidangan kami berdua. Bukan ramai pun nak makan. Saja untuk suka-suka. Sejak Mama ada, dialah yang rajin tengok-tengokkan. Pantang ada biji sayur atau buah, pasti disimpan untuk dijadikan benih.
 
Pokok cekur dan anak pokok laici king. Sebelah tu pokok selasih.
 
Di kebun mini ini jugalah tempat favourite siDia. Kadang-kadang senyap-senyap dia duduk bersendirian di sini sambil membaja pokok, menyembur racun atau 'meracun' diri sendiri (smoking) hehehe....
 
Pada masa akan datang, saya akan buat entry untuk kebun mini ini. Banyak yang saya nak kongsikan dengan anda. Mungkin hobi saya ini, juga menjadi hobi anda.

10 October 2012

Di telapak kaki bonda

Saya jarang mendapat kesempatan untuk berdampingan dengan Mama sejak tamat bersekolah. Kehidupan saya kian menjarakkan kami berdua tatkala saya mula melanjutkan pelajaran ke IPT. Kemudian saya terus bekerja dari satu tempat ke satu tempat. Sehinggalah sekarang saya menetap di utara.
 
Kesempatan selepas berkahwin dan kembali menetap di rumah sendiri, peluang inilah yang diambil untuk Mama tinggal bersama saya. Mama dah lama teringin nak datang ke utara. Sebelum ini saya berulang-alik ke Penang. So, agak susah untuk bawa dia bersama kerana saya menyewa bilik di sana dan hanya pulang tika hujung minggu. Tapi bila dah dapat kembali ke rumah sendiri, saya rasa inilah masa yang sesuai dia tinggal sekali.

Tinggal bersama orang tua tatkala kita telah dewasa, sangat berbeza waktu kita tinggal bersama mereka semasa kecil. Kali ini, kita pula yang perlu lebih memahami kerenah dan punya kesabaran yang tinggi untuk melayan kemahuannya. Memandangkan telah 12 tahun arwah Baba meninggalkan kami, saya lihat Mama sebagai seorang ibu yang kesunyian yang perlu lebih perhatian dari segi emosi dan fikiran.

Mama saya
Hampir setiap hari Mama akan memasak dan menunggu saya pulang kerja untuk makan bersama. Adakalanya saya tidak benarkan dia memasak. Tetapi kata beliau, dia suka begitu. Jadi saya biarkan sahaja. bimbang kalau disekat, merajuk hati. Walau kenyang makan di pejabat, di rumah saya tetap makan untuk menjaga hati Mama. SiDia pun saya beritahu perkara yang sama. Orang tua kalau dah terasa, susah untuk dipujuk. SiDia saya tu, rajin melayan. Kehendak yang keluar dari bibir Mama, dia segera usahakan. Terutama jika Mama teringin makan sesuatu.

Pernah saya mengingatkan,"Mama tu kena pantang. Bukan boleh makan sebarangan."
Jawab Mama," tak larat nak pantang dah. Time nak sakit, sakit juga."
Saya diam. Dalam hati, kata-kata Mama ada benarnya.

Waktu makan-makan di Kuala Perlis


Seronok tengok Mama berselera

 
Makan ketam masak kicap
Itu time OK. Ada ketika, dia berserabut memikirkan sesuatu, emosinya juga terganggu. Waktu itu, bersedialah "urut" cuping telinga. Kita yang tiada kena-mengena pun termasuk dalam leterannya. Namun saya tidak terusik dengan leteran itu. Biasalah...manusia adalah unik. Tak perlu kita fikir keterlaluan. Memadai hanya menggangap itu perkara normal dan berlaku pada semua orang.

Bagi saya, biarlah saya manafaatkan kesempatan yang ada bersama beliau. Entah dia yang dulu "pergi", atau saya lebih awal daripadanya. Saranan saya, walau anda ada mama atau baba yatau sesiapa pun orang yang anda sangat sayang, hargailah dia ketika masih ada. Tunjukkan kasih sayang anda yang tulus itu. Belailah jiwanya. Kadang-kadang bukan harta yang mereka minta, tetapi sentuhan cinta kita yang dapat menyuburkan hatinya.