“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Showing posts with label Persiapan Mempelai. Show all posts
Showing posts with label Persiapan Mempelai. Show all posts

18 June 2012

Doa untuk pasangan pengantin

Bagi anda yang menyelitkan slot ini dalam aturcara majlis, pastikan ia berjalan lancar dan sampai kepada tujuan asal. Jangan dijadikan sekadar memenuhi acara atau sengaja nak tunjukkan majlis kita ada unsur keagamaan. Jangan...tak baik. 

Pertama, tetapkan siapa yang sebaiknya membacakan doa itu. Tak perlulah nak minta imam masjid atau guru agama membacakannya. Tetapi kalau ada lebih afdal. Kalau tiada, biarlah seseorang itu mempunyai suara yang lantang dan jelas. Supaya bacaannya nanti dapat didengari dan difahami.

Kedua, dapatkan doa yang bersesuaian. Zaman sekarang sangat mudah. Tekan saja di internet, hampir semua yang anda cari boleh ditemui. Lepas tu, copy dan paste ajelah. Jadikan ia sebuah lembaran.
 
Perenggan doa
Ketiga, tentukan masa bila ia akan dibacakan. Anda pernah lihat entry saya berkaitan dengan aturcara majlis? Ya, di situ saya letakkan slot doa dibaca selepas pengantin duduk di pelamin. Sebaik-baiknya ketika itu, minta semua hadirin diam dan minta DJ matikan muzik yang berkumandang.

Itu sahaja saranan saya. Saya cakap berdasarkan pengalaman semasa majlis saya dulu. Bila teringat, rasa syahdu ketika doa itu dibacakan. Semua orang diam. Suasana hening seketika. Seakan-akan masa terhenti daripada riuh-rendah berkenduri. Sipembaca doa, anak saudara saya, Angah yang berumur 15 tahun.

Angah tetap praktis walaupun pengantin dah datang
 
Kusyuk...
Baiklah...untuk anda pembaca yang dikasihi terutama bakal pengantin, di sini saya sertakan doa yang telah dibaca semasa majlis saya.

 
Segala puji hanya untuk-Mu ya Allah yang telah menjadikan kami berpasang-pasangan. Selawat dan salam di atas junjungan kami Saiidina Muhammad S.A.W. rahmat sekelian alam serta keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian.

Ya Allah, pada hari yang berkat ini, kami berhimpun di sini sebagai tanda kesyukuran kami atas nikmat-Mu bersempena dengan majlis perkahwinan yang diadakan oleh keluarga kedua-dua mempelai dengan selamat dan sempurna bagi pernikahan anakanda mereka.

Ya Allah Ya Tuhan Kami yang Maha Sempurna, rahmatilah majlis ini semoga ianya berjalan dengan sempruna seperti mana yang telah engkau kehendaki dan berkatilah majlis yang diadakan ini dengan keberkatan dari permulaan hingga ke akhirnya. Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izin-Mu.

Ya Allah Ya Tuhan Kami yang Amat Mengasihi, limpahkanlah rahmat dan keampunan-Mu kepada pasangan pengantin. Kurniakanlah keduanya ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap dugaan dan cubaan hidup berumahtangga lebih-lebih lagi di akhir zaman yang penuh pancaroba ini.

Ya Allah, kurniakanlah restu dan kasih sayang diantara kedua pengantin ini serta eratkan hubungan keduanya sepertimana telah Engkau hubungkan diantara air & tanah, Adam & Hawa, Ibrahim & Siti Hajar, seperti Yusuf & Zulaika, Ayub & Rahmah, Musa & Safurah, Sulaiman & Puteri Balqis dan seperti Baginda Muhammad S.A.W. & Khadijah.

Ya Allah, satukanlah keduanya dalam inayah dan barakah-Mu. Semoga menjadi Nur ibadah yang mendambakan rahmat-Mu. Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina ini dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta berkekalan hingga akhir hayat.

Amiin ya Rabbal A'lamin.

Menadah tangan memohon keberkatan
Sayu seketika tatkala semua orang menadah tangan berdoa untuk kami berdua



2 May 2012

Berandam bertunang

Selalunya inilah perkara pertama yang menarik perhatian B2B memulakan persiapan sebagai mempelai. Rata-rata sekarang ni mudah untuk mendapatkan khidmat make-up dan andaman. Selalunya ia didatangkan dalam satu pakej oleh mak andam iaitu termasuk pakaian lelaki perempuan, perhiasan, pelamin, hiasan meja pengantin dan lain-lain. Saya nak bercerita tentang pakej yang saya ambil. Mungkin sedikit sebanyak dapat membantu B2B di sekitar kawasan Pekan/Kuantan/Chini dan Muadzam. 

Semasa bertunang, saya memang pulun survey dalam internet. Maklumlah saya di Pulau Pinang, majlis di Pahang. Pening kepala juga nak memilih walaupun berderet-deret iklan dalam website saya temui. Setiap iklan, saya pastikan ada hasil kerja mereka dipaparkan. Supaya kita boleh nilaikan cara mereka mengandam. Bila dah lihat, terfikir pula adakah hasil yang sama akan berlaku pada kita. Dalam kerisauan, saya cuba hubungi beberapa butik pengantin untuk mendapat maklumat lanjut.

Majlis bertunang

Awalnya saya telah membuat temujanji dengan sebuah butik yang agak popular di FB dan Fotopages. Butik tersebut beroperasi di Kompleks Teruntum. Pemiliknya saya kenal  (dia tak kenal saya) kerana kami pernah satu sekolah. Kakak saya juga mengenali ibunya kerana pernah tinggal di kawasan berhampiran. Atas dasar itu dan setelah melihat hasil solekannya yang cantik, saya memilih untuk disolek di butik beliau. Harga yang dikenakan ialah RM150. Bagi saya itu memang harga patut memandangkan hasil kerjanya yang boleh dipuji. Melalui telefon, saya buat booking dan bayar RM50 sebagai deposit.

Awal pagi lagi saya sudah bertolak ke Kuantan. Perjalanan mengambil masa hampir sejam. Temujanji saya dengannya pukul 10 tetapi saya sampai awal takut kelewatan.  Setelah menunggu di butiknya hampir 15 minit, saya dimaklumkan oleh pembantunya bahawa mereka tidak cukup jurusolek pada hari tersebut dan saya akan dibantu oleh rakannya dari butik berdekatan. Saya terkejut tetapi masih bersabar kerana tidak mahu diganggu emosi. Namun kejutan lain pula berlaku apabila saya diminta membayar RM130 sebagai baki bayaran. Seiingat saya, pemiliknya memaklumkan bayaran adalah RM150. Berlaku sedikit pertengkaran. Namun apabila mengenangkan majlis akan berlangsung beberapa jam lagi, maka saya beralah dan terus membayarnya. Dalam hati hanya Allah yang tahu betapa geramnya. Mungkin ini adalah dugaan...hati memujuk.

Seorang wanita datang ke butik tersebut meminta saya mengikutnya untuk disolek. Kedainya agak kebelakang dan tidak mempunyai banyak aksesori untuk digelar sebagai butik. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Kak Ujie. Syukur kepada Allah kerana hasil kerjanya juga bagus. Perasaan yang mendongkol pada awalnya bertukar gembira apabila selesai disolek. 

Wajah sebaik selesai disolek.




Dalam pakaian bertunang
Terima kasih Kak Ujie atas hasil kerja yang sangat memuaskan. Saya sangat mengesyorkan beliau kepada B2B yang masih mencari-cari jurusolek idaman. Anda boleh menemui Kak Ujie di facebook beliau iaitu Ujie Ariffin. Jadilah rakannya dan anda dapat lihat banyak gambar-gambar hasil solekan beliau. Sebagai tambahan, suami Kak Ujie adalah jurugambar. Justeru anda tidak perlu lagi pening kepala untuk mencari pakej fotografi. Mereka boleh uruskan.

Benar seperti iklan sabun tu..."yang mahal tidak semestinya bagus...yang bagus tidak semestinya mahal". Saya nak tambah sedikit, "yang popular tidak semestinya bagus". Renung-renungkan...




 

19 April 2012

Merancang aturcara majlis

Penting ke? Memang sangat penting. Majlis anda akan jadi kelam kabut tanpanya. Ia adalah wajib disediakan apabila majlis dibuat di dewan kerana MC memerlukannya untuk melancarkan acara. Tetapi jika buat majlis di rumah TETTT... tetap wajib terutama apabila tiada MC yang akan menguruskan majlis anda.

Bagaimana? Anda perlu bayangkan apakah acara yang akan terlibat. Kemudian buat lakaran termasuklah siapa yang akan bertanggungjawab dan peranannya. Jika anda ada banyak acara yang dibuat, susunkan mengikut kesuaian. Macam saya, majlis dimulakan dengan majlis khatam quran diikuti majlis akad nikah pada hari pertama. Pada hari kedua barulah berlangsung majlis persandingan.

Jika majlis turut melibatkan orang lain seperti ada majlis cukur jambul, sila berbincang dulu dengan keluarga yang terlibat. Amaran: Set tahap kesabaran pada kadar maksimum sebelum melakukan perbincangan. Biasalah bila melibatkan orang ramai, macam-macam idea akan timbul. Pelbagai kehendak terpaksa dipenuhi. Jangan terus menolak atau merungut. Cuba terima dulu dan suai aturkan dengan perancangan kita. Buat kenduri memang begitu. Consideration diutamakan. Jangan sampai ada yang terasa. Jangan pula sampai anda merana...huhu

Selain itu, anda boleh memasukkan sekali lagu-lagu pilihan dalam aturcara tersebut. Awalnya saya asingkan senarai lagu mengikut majlis. Susunkan dalam folder.Tetapi apabila mendapati banyak sangat kertas yang perlu dibelek (list idea, bil, contoh gambar, alamat web dsb)... saya hanya padatkan kesemua dalam satu kertas seperti di bawah. Mudah dan berkesan. 

Tarikh / Masa
Aturcara
Lagu


26.11.2011 (Sabtu)
10.00 pagi
11.00 pagi
9.00 malam






Majlis Khatam Quran
Majlis Akad Nikah
- tema: “Morrocon Nite”




- Marhaban & Berzanji


- Lagu Arab


27.11.2011 (Ahad)


9.00 pagi


11.00 pagi


12.30 t/hari










































































4.00 petang










- Jamuan makan


- Ketibaan rombongan pengantin L.
  • Perarakan pengantin diiringi paluan kompang dan Selawat Nabi. Dua orang bawa bunga manggar ( Arif & Izrin). Berhenti depan masjid.
Pengapit L akan tunggu sekali.

  • Pengantin P turun dari rumah & pergi bertemu Pengantin L. Jalan bersama ke pelamin.

  • (Diam) Bacaan doa oleh Amirul Asyrin (Angah)

  • Acara menepung tawar.
  • Ibubapa P, adik-beradik, saudara mara.
  • Ibubapa L, adik-beradik, saudara mara.
  • Rakan/jiran/tetamu lain

  • Sesi bergambar

- Makan beradap
  • Pengantin LP turun beriringan ke tempat makan diikuti keluarga.
  • Semua mengambil tempat yang telah ditentukan.

-Sesi bergambar outdoor






- Bacaan Ayat Al-Quran


- Instrumental Melayu Asli


- Kompang














- Lagu-lagu Gamelan
  • Gendang Sembilan
  • Antawada
  • Lambang sari
  • Perang manggung
  • Selanting
  • Timang burung
  • Togok
  • Topeng
  • Ayak-ayak


















- Nostalgia Lagu-lagu Pengantin


 Nota: Maaf kerana ilustrasi yang kurang jelas


Nak tiru? Boleh...saya izinkan. Nak tiru 100% pun tidak mengapa asalkan contoh ini dapat melancarkan majlis anda. Ini idea saya. Mana tau kalau-kalau anda akan dapat idea segar apabila menggunakannya. Kan lebih baik begitu?

8 March 2012

Tiara untuk sicilik

Saya mulakan entry kali ini dengan senyuman. Seakan terbayang-bayang wajah Maryam dan Ika sedang memakan skaf ini. Apa yang istimewanya?



Haa...tiara kecil itulah yang membuatkan skaf ini istimewa. Itu memang permintaan Maryam. Nak pakai tiara waktu saya kahwin nanti. Nak dijadikan rezeki, saya terjumpa ini di S&M waktu jalan-jalan lunch time. Ingatkan nak beli menjelang majlis nanti. Bila S&M mula membuat tawaran diskaun, beli 1 dapat 1, saya terus beli tanpa berpaling lagi. Kemudian saya upload gambar then call Maryam untuk minta pendapatnya.

"Hmm...kenapa tiara tu kecik sangat?" Itulah ayat pertama keluar dari mulut sicilik itu. Baru umur 5 tahun tapi kebolehan "pidato"nya memang tak dapat disangkal.

Maryam suka skaf itu tapi dia nak tiara yang besar. Alahai...banyak songeh betul minah ni. Tapi saya suka kerana dia berani menyuarakan pendapatnya. Justeru, saya cuba mencari tiara yang dia inginkan di sekitar Georgetown. Tapi tiada.

Nak dijadikan rezeki, saya jumpa tiara comel sewaktu meronda di Bazar Chowrasta. Harganya RM4 satu dan saya beli tiga dengan diskaun RM1.  Ia diperbuat daripada plastik berwarna perak dan dihiasi permata berwarna. SiMaryam melebar senyum bila lihat tiara itu. Hampir saban hari bertanyakan mamanya bila saya kahwin kerana tidak sabar untuk memakainya.

******  Di Hari Perkahwinan ******

Saat-saat yang dinantikan menjadi flower princess



Itulah angan-angan yang menjadi kenyataan. Saya yang berkahwin tetapi saya lihat dia yang tak senang duduk. Kejap-kejap dia pegang tiara di kepala. Kemudian senyum sendirian. Lucu melihat dia.

Sentiasa ready untuk posing
Tidak salah untuk memenuhi impian semua orang yang terlibat dalam majlis kita. Cubalah semampu mungkin untuk memenuhinya. Jika tidak mampu segi kewangan, memadai lakukan  mengikut bajet yang ada. Asalkan ada yang diingini kerana realiti memang kita tidak berupaya memuaskan hati semua. Namun, seandainya mereka gembira dengan majlis kita, sampai bila-bila pun kegembiraan itu akan diingati. Wajibnya, kita lakukan semua itu dengan gembira juga. Barulah aura kebahagiaan itu akan menyelimuti ke seluruh ruang udara. Saya pernah lakukan dan saya pasti jika anda lakukan perkara yang sama, anda akan menjadi pengantin yang sangat bahagia... Insya Allah.

28 November 2011

Berandam Nikah-Kahwin

Seperti yang saya maklumkan dalam post Berandam bertunang, bukan mudah nak mendapatkan khidmat andaman. Tambahan pula andai anda tinggal berjauhan dari tempat majlis berlangsung. Sebagaimana saya yang bekerja di Pulau Pinang tetapi majlis berlangsung di Pahang. Pening kepala nak cari...

Namun pening saya berjaya diubatkan oleh Noi. Noi yang telah berkahwin awal 5 bulan daripada saya mencadangkan andam majlisnya iaitu Butik WAHN Seri Pengantin di Chini 2. Alhamdulillah...terima kasih padanya. Saya dikenalkan dengan Nonie (anak pemilik butik). Orangnya kecil molek. Mesra dan pandai berlucu. Noi kata, ramai pelanggan butik ini adalah penduduk sekitar Chini, Muadzam, Keratong sehingga ke Serting. Nonie sendiri yang akan make-up dan siapkan pengantin. Di waktu sibuk, ibu Nonie iaitu pengasas WAHN dan adik perempuannya turut turun padang menyiapkan pengantin.

Wajah selepas disolek
Saya memang sangat berpuas hati dengan hasil kerja Nonie. Double thumbs up! Selain daripada layanan yang mesra (walaupun dia sedang sarat mengandung), dia tetap sabar melayan permintaan kami semua (ada 6 orang pengantin perlu disolek serentak). Hasil solekan pula tidak mengecewakan. Malah ramai memuji solekan tidak keterlaluan.

Justeru, saya mengambil kesempatan ini mempromosikan WAHN Seri Pengantin secara ikhlas. Anda yang masih lagi tercari-cari, tak perlu lagi gusar. Tak perlu bersusah-payah ke Kuantan atau ke Pekan mencari juruandam. Samada anda berbadan langsing atau gempal, di situ ada pilihan baju. Malah mereka akan bantu anda mencari aksesori sepadan yang diinginkan. Jika perlu, anda boleh bersama-sama memberi idea tambahan dekorasi pada baju ataupun pelamin impian.

Nah...tunggu apa lagi?

8 June 2011

Crepe Paper a.k.a Kertas Tisu

Sejak akhir-akhir ini hati saya tergoda dengan kraftangan yang dibuat daripada crepe paper. Tak sangka rupa-rupanya kertas ini boleh dibuat aneka kraf. Terutamanya bunga. Bila saya menyusuri laman blog yang ada, pelbagai pilihan bunga yang boleh kita lakukan dengan memerlukan sedikit kerajinan + imaginasi + usaha = memang the boom!

Cuba lihat ini. Idea ini saya lihat di http://www.marthastewartweddings.com/


Jambangan bunga tangan

Jika anda singgah di website ini, terdapat beberapa pilihan jenis daun dan bunga yang boleh anda lakukan secara diy.

Curly petal
Bubble petal


Long leaf
Double leaf



Rolled petal
Folded petal


Sekiranya anda ke kedai bunga tiruan atau alat tulis, anda boleh lihat warna-warna crepe paper ini berbeza mengikut syarikat pengeluar. Saya tak pasti ianya berasal dari mana tetapi jika dibandingkan, setiap jenis kertas atau bentuknya (samada digulung seperti reben atau dilipat memanjang) adalah tidak sama.

Rata-rata yang sering dijual di sini ialah jenis tebal dan nipis. Jenis tebal selalunya tidak lebar dan harganya sekitar RM1.20 ke atas. Kadangkala warna disebelah dalam tidak sama dengan bahagian luar. Bagi kertas nipis, selalunya ia berbentuk lipatan bergulung. Harganya pula jauh lebih murah iaitu diantara 50 sen atau 60 sen sekeping. Ianya lebih lembut dan sangat sesuai untuk dijadikan kelopak bunga seperti bentuk-bentuk di atas.

Peringatan: Jangan sentuh kertas ini ketika tangan anda basah. Ini akan melunturkan warna kertas sekaligus ianya akan berkedut (agaknya inilah sebab ia dipanggil kertas tisu).

Saya bercadang untuk mengolah idea ini untuk dijadikan bunga telur.  Selain jimat kos, ianya sangat comel dan memikat mata yang memandang. Marilah kita sama-sama mencuba. Mungkin di masa akan datang, saya akan paparkan hasil kraf saya di sini untuk tatapan anda. Selamat mencuba!

7 June 2011

Pulut Kuning

Saya memang memilih pulut kuning berbanding dengan kek perkahwinan untuk majlis makan beradap nanti. Pertamanya sebab saya memang suka makan pulut kuning. Nak pulak time baru sudah masak dengan wap panas yang menari di udara. Ditemani dengan kari telur yang pekat dan masam-manis. Mmm....berkecur air liur. Keduanya sebab saya rasa pulut kuning tu lambang makanan istimewa orang Melayu. Selalunya kalau ada majlis-majlis keraian, maka akan terhidanglah pulut kuning sebagai kepala hidangan.

Dulu-dulu, saya ingat lagi mak saya sediakan pulut kuning dalam mangkuk tingkat untuk hari pertama saya dihantar mengaji quran. Lauk peneman ialah sardin sambal. Kiranya masa tu dah dikira satu hidangan yang agak mewah. Semua kawan-kawan makan dengan semangatnya. Itulah juga permulaan saya mendapat kawan baru dan membuka semangat nak mengaji dengan lebih pantas dari orang lain. Selain itu, pulut kuning juga akan menjadi hidangan hampir setiap kali saya menyambut ulang tahun kelahiran masa zaman kanak-kanak. Justeru, saya ingin sekali kali ini pulut kuning kekal dalam hidangan di hari majlis bahagia.

Sebagai permulaan, saya telah dapatkan contoh pulut kuning yang telah dihiaskan menerusi carian google. Ini penting supaya orang yang akan bertanggungjawab tahu macamana nak hiaskan pulut ini. Mesti ada telur sebagai hiasan. Seperti di bawah.



Kalau 2 tingkat pulak, mungkin yang di bawah ni lebih sesuai dengan kehendak saya. Ada telur. Ada lauk diletakkan sekali.



Ishkk...tengok gambar pun dah rasa berselera.
Yang macam ni cantik dipandang, macam sedap untuk dirasa.

Saya nak cadangkan pada mak supaya meja pengantin serta hidangannya akan diuruskan oleh mak-mak sedara saya. Saya percaya mereka ada kebolehan menghias tetapi tidak diketengahkan semasa menghadiri majlis kenduri keluarga. Kali ini, saya nak minta mak maklumkan kepada mereka. Mohon untuk kerjasama. Saya yakin, mereka berbangga untuk membantu. Kalau kita minta, Insyaallah mereka mau menghulur tenaga.

Saya mau, majlis saya nanti tempat penyatuan keluarga jauh dan dekat, tempat membaja kemesraan yang kian kering dek edaran waktu, tempat mencurahkan kasih sayang dan prihatin antara satu sama lain. Mungkin pulut kuning ini dapat menjadi salah satu alat kepada tujuan itu. Sebab hujan sehari kadang-kala dapat membasah kemarau setahun...ewah...

20 May 2011

Kain sari jemeki

Petang kelmarin saya pergi meronda bersama Kak Ton ke Penang Street. Di situ terkenal dengan gelaran Little India. Sememangnya di situlah pusat pakaian dan peralatan keperluan kaum India. Tujuan saya nak mencari kain sari untuk dijadikan baju untuk majlis saya nanti.

Misi: Kain sari polos berjemeki
Warna: Putih atau kelabu
Bajet: maksimum RM100 (hehe...)

Kalau anda pergi ke situ, memang rambang mata di buatnya. Banyak pilihan kain, corak, harga dan warna. Dari kain sari sehinggalah ke baju punjab samada untuk lelaki atau wanita, kanak-kanak atau dewasa. Memang pening nak memilih. Semuanya berkenan.

Disebabkan excited sangat nak mencari kain, saya lupa nak snap gambar suasana di situ. Lain kali saya pergi, saya akan ambil gambar supaya anda dapat gambaran macamana Little India di Penang.

Sedikit hampa kerana warna dicari dengan bajet yang ciput tidak ditemui. Kata seorang penjual di situ, warna yang sering menjadi pilihan adalah warna terang. Putih hanya digunakan untuk kematian. Alahai...macam tu pulak. Dah tersentot perasaan.

Belek punya belek, saya terjumpa kain ni. Saya berkenan coraknya dan warnanya walaupun jauh tersasar tapi....mmm...cantik! Harganya believe it or not, RM55 only! Setelah berfikir 12x, saya pun beli. Dah berkenan sangat.

Malam tu saya tanya Z,"ok ke kalau kita pakai kaler kuning?"
Dia jawab," Warna apapun abang tak kisah. Asalkan warnanya cemerlang..." (Hee...jawapan yang dinanti-nantikan)


Cantik!

So, mission accomplish. Sekarang ni kena cari tailor plak area sini. Melalui tinjauan awal, harga upah mungkin sekitar RM150 untuk kain jenis macam ni. Sekiranya anda kenal tailor yang bagus, do inform me please. Saya berharap sangat kain ini akan bertukar menjadi baju yang akan menyerlah penampilan saya pada hari yang berbahagia itu nanti.

Haii...seronoknya...