“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”

17 October 2013

Selamat bertemu dunia!

Pejam celik akhirnya kandungan saya meniti minggu-minggu terakhir. Hari ini sudah masuk minggu 36. Seperti kebiasaan, saya ke klinik pagi ini untuk check tekanan darah. Dukacitanya tekanan tinggi (150/90). Entah apalah punca, saya pun malas nak fikir. Memang lately tekanan dah tak stabil. Susah nak dapat bacaan normal.
Saya diarahkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Untuk kali ketiga dalam sejarah mengandung ini, saya menaiki ambulans kerana pihak klinik tak benarkan saya pergi sendiri. SiDia follow dari belakang. Memandangkan saya dah pun masuk 9 bulan, mereka terus bawa saya ke wad bersalin walaupun sebenarnya saya belum mengalami apa-apa tanda.
2 hari berada di wad tersebut, tekanan darah saya menurun. Saya dibenarkan pulang pagi esoknya. Hati berasa lapang walaupun risau memikirkan siManja yang berada di dalam. Keadaan dia ok. Cuma Mamanya yang tak ok hehe...
Pagi 1 Oktober. Jam 8 lebih saya menerima lawatan daripada doktor pakar iaitu Ketua Unit Bersalin di sana. Setelah melihat carta perkembangan jantung dan keadaan bacaan tekanan darah saya, beliau mencadangkan agar saya terus bersalin. Dengan segera, saya terus bersetuju. Saya dah rimas ulang-alik ke hospital dan klinik. Kalau siManja ini dah ready untuk dilahirkan, saya sangat setuju.
Setelah bersetuju, tanpa buang masa pihak wad terus menyiapkan saya ke dewan bedah. Ya, saya akan dibedah kerana keadaan saya mungkin lebih serius jika dibenarkan bersalin normal. Saya sendiri tidak kisah. Asal selamat. Yang pasti bersalin normal pun sakit, bersalin bedah pun sakit.
Akhirnya lahirlah siManja saya ni pada jam 10.10 pagi. Syukurlah saya dan dia selamat. Tiada apa-apa masalah sepanjang pembedahan ini dilakukan. Malah saya rasa seperti berada dalam drama berlakon adengan bersalin kerana segalanya berlalu begitu pantas.
Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah kerana memakbulkan segala doa saya selama ini dan memudahkan saya bersalin.  Terima kasih juga kepada semua jururawat dan doktor di wad O&G Hospital Sultan Abdul Halim yang memberi layanan yang baik semasa saya berada di sana. Tiada langsung prejudis yang wujud dalam hati terhadap perkhidmatan hospital kerajaan. Merekalah buktinya.
Untuk siManja Mama yang tersayang, terima kasih kerana bertahan selama 9 bulan berada dalam kandungan. Walau macam-macam dugaan yang kita lalui terutama berkaitan dengan tekanan darah Mama, tetapi kamu tetap membesar dengan sihat dalam rahim Mama.
Selamat datang ke dunia wahai anakku. Mama sayang kamu!
Muhammad Eimran Zulkarnain (kurang 24jam selepas lahir)






 


11 September 2013

Breast pump

Mula-mula memang langsung tak terfikir nak beli ke tidak. Memang kerap baca dalam blog, tapi dulu rasa macam tak berkaitan. Mai nak dekat bersalin ni, mulalah nak ambil port dan rewang merata mencari.
 
Sesuai ke tidak? Tak tahulah camana nak menentukan. I guess, bila kita dah guna baru kita tahu elok ke tak pam tu dengan kita. Nak kata beli yang mahal gerenti sesuai, tak boleh juga. Nak kata beli yang jenama biasa-biasa je tak elok, tak juga. Cuma dari segi kualiti, setiap produk ada la jaminan masing-masingkan? Tambah pulak kalau harga dalam empat lima ratus ke atas. Biasanya brand luar negara memang jadi pilihan. Mungkin bukan setakat brand, tetapi kualiti dan riview pengguna juga menjadi asas kepada pilihan.
 
Saya pilih ini.
 
Jenis elektrik cum battery
Bukan sebab brand atau apa, sebab kemampuan. Kebetulan masa saya sembang dengan Jamie, dia yang tolong cari dalam Mudah.my. Adalah seseorang tu jual dengan harga diskaun. Barang ni dia masih belum guna. Tapi dianggap used sebab dah buka kotak. Dia pula dah beli yang lain yang mungkin lebih berkenan di hati.
 
Jamie segera suruh saya contact penjualnya dan confirm untuk beli. Bila dah bagitau confirm, barulah terpikir nak google riview orang ramai. Seperti yang saya cakap tadi, ia bergantung kepada kesesuaian individu. So, riview produk ni tidaklah sampai mengecewakan. Harap-harap sesuai la dengan saya. Harga pun memang jauh lebih murah la dari harga asal. Nama pun barang preloved.
 
Hehe...rasa happy bila barang ni dah sampai ke tangan.

10 September 2013

Storage drawer bertingkat

Wah...sedar tak sedar kandungan saya dah masuk bulan ke 8. Maknanya tak lama lagi hidup saya dan siDia akan menjadi semakin sibuk dengan kehadiran siKecil pula. Seperti pasangan lain, bila dah masuk 8 bulan ni, mulalah membeli itu-ini. Sebelum ni memang saya tak ambil endah langsung. Tapi bila dengar Mama nak datang dan tinggal bersama sehingga siKecil lahir, mulalah nak kelam-kabut (malas nak dengar nenek dia berleter...hehe).
 
Saya makin giat melayari internet mencari info berkenaan kelahiran dan persediaan. Apa yang kena sedia, apa yang kena buat, apa yang kena beli. Alhamdulillah dunia di hujung jari memang sangat membantu. Selain daripada membeli peralatan yang akan diguna selepas bersalin, saya juga membeli keperluan siKecil. Baju serba-sikit, diapers, babycare dan lain-lain yang berkaitan.
 
Bersalin normal ke bedah? Tak tahu lagi. Tapi saya berdoa agar dapat bersalin normal. Saya ni dah berumur, peluang nak mengandung tu makin menurun. Sekurang-kurangnya merasa juga bersalin normal seperti ibu yang lain. Namun, apapun doa saya setiap kali solat, saya dan baby selamat dan sihat hingga selesai. Itu yang lebih penting dari segala-galanya.
 
Yelah...anda pun tahu saya dan masalah BP high sejak awal mengandung hari tu. Walaupun sekarang BP saya sudah undercontrol (tak lebih 130/90), tapi perasaan cuak itu tetap ada setiap kali pergi check. Seminggu pastinya kena check 2 kali.
 
Dr. Azira (KK Sg. Lalang) pun cakap, walaupun ada darah tinggi, InsyaAllah peluang untuk bersalin normal itu ada. Semuanya bergantung pada keadaan sewaktu sampai masa kelahiran. Sebab time tu, saya akan disuntik ubat dan jika pressure go very high, maka barulah akan dibedah. Kalau sebaliknya, saya akan dibenarkan bersalin normal.
 
Well..kita tinggalkan bab tu dulu.
 
Setelah sekian lama tidak menulis, kali ni saya nak berkongsi cerita tentang usaha saya mencari tempat simpanan barang-barang siKecil. Bila dah banyak barang dibeli, mulalah terfikir kat mana pula nak disimpan. Bila tengok online, macam-macam storage yang dijumpa. Terutama di Ikea. Tapi takde delivery pula ya ke Sungai Petani. Nak kirim beli kat auntie-auntie dia di KL nun, nak kena tunggu depa mai sini pula bawa barang.
 
Saya dan siDia jenuh juga turun-naik supermarket mencari storage drawer. Saya yang cerewet. Nak yang telus supaya boleh nampak ada di dalam. Kalau ikut siDia, mana-mana pun ok asal boleh menyimpan. Cari punya cari, akhirnya saya jumpa yang ini.
 
Siap dah bubuh barang
Selalu tu kita jumpa yang satu warna ada 3,4 atau 5 drawer kan. Alhamdulillah saya jumpa yang ini. Sekali tengok, terus berkenan. Bagi orang Sungai Petani, mungkin tahu kedai zink bersebelah pasar Taman Ria. Nama kedai tu sebenarnya Tai Sheng. Saya yang panggil kedai zink. Harga dia RM64.90. Tetap dan tak boleh kurang (sebab saya dah minta kurang hehe...tapi tak dapat). Masa saya beli minggu lepas, cuma ada 3 unit sahaja di kedai itu. Kalau anda pun berkenan, silalah dapatkan segera.
 
Di Gurun, ada lagi sebuah kedai ni bersebelahan dengan stesyen minyak Shell. Tapi cuma ada 3 drawer dan kesemuanya warna oren, bukan multi color macam ni. Harga pula murah lagi iaitu RM34.90.
 
Atas sekali tu, saya letak baju siang dia. Second drawer saya letak baju malam, napkin dan barut. 2 laci yang bawah ada barang-barang penjagaan untuk dia dan saya. Ruang laci luas dan boleh bubuh macam-macam barang. Sangat-sangat puas hati :-).
 
Bak kata Mama, bila dah sedia semua benda ni, tak sabar pula nak tengok tuan dia keluar...hehe

26 June 2013

Bunyi brek menjerit

Saya memang tak arif pasal kereta. Sebab itu setiap kali ada masalah, saya akan rujuk ke bengkel. Itupun mengikut kepada tahap kewangan semasa. Takut juga bila dibiarkan lama-lama, rosak yang sedikit akan menjadi besar. Time tu, garu kepala la jawabnya.
 
Bab kereta saya berbunyi tatkali brake ditekan memang dah lama. Sejak saya ada di Penang. Maksudnya lebih setahun yang lalu. Tak tahu apa yang tak kena. Saya cuba tukar brake pad. Ingatkan kut brake pad tu dah lama. Tapi lepas tukar pun masih berbunyi kritttttttttt...! Hishhh...stress sungguh! Tapi saya buat tak tahu jelah. Time brake memang malu kat orang keliling. Bunyi jeritan tu bergema menyakitkan telinga.
 
Bila tayar mula berbunyi seperti bergeser terutama semasa membelok, siDia kata mesti ada yang tak kena dengan bearing. Rupanya tayar dah haus sebelah. Sebab itu tayar berbunyi. Memang betul. Bunyi bergeser itu hilang setelah bearing ditukar. Tapi bunyi menjerit itu tetap ada.
 
Bulan lepas tergerak hati nak buat alignment tayar. Memang dah lama tak buat. Bawa keta pun dah jadi gelong. Terpikir juga pasal alignment ke punca bunyi. Pomen tukar camber. Katanya camber dah bengkok.
 
Alhamdulillah...memang itu punca asalnya. Selepas ditukar, bunyi menjerit tu semakin berkurangan. Ada juga saya terjumpa di blog yang memaklumkan masalah yang sama dan selesai selepas camber ditukar.
 
Kebetulan ada rezeki lebih, baru-baru ini saya hadiahkan kereta dengan sepasang tayar yang baru. Silverstone Atlantis V7. Buat di sebuah kedai servis di Sungai Lalang. Harga asal RM200/sebiji. Tapi lepas buat tokey tu explain panjang berjela dan saya yang bertanya tanpa henti, dia bagilah diskaun RM185 siap pasang. Paling kurang dah dia kata.
 
Selepas guna tayar baru ni, bunyi menjerit tu hanya muncul sekali-sekala. Mungkin brake pad dah dapat keserasian dengan camber tu. Ditambah pula dapat tayar baru. Jadi jika kereta anda juga mengalami perkara yang sama, cuba check camber jika brake pad sudah ditukar. Masalah bunyi menjerit itu mungkin hanya melibatkan 3 perkara ini sahaja.

16 June 2013

Cinta Pantai Merdeka

Hujung minggu baru-baru ini saya ke Pantai Merdeka. Ini bukan kali pertama untuk menyatakan bahawa saya akan jatuh cinta pada tempat itu. Sebelum ini pernah datang beberapa kali. Juga bersama keluarga.
 
Kali ini ke situ adalah disebabkan menghadiri program tempat kerja. Saya berpeluang untuk bermalam di Merdeka Beach Resort yang baru sahaja mengalami pertukaran pengurusan. Walaupun masih banyak kekurangan kemudahan penginapan, namun perubahan dapat dilihat dari segi suasana persekitaran yang baru.
 
Kami menginap di family room yang lokasinya betul-betul menghadap ke laut. Untuk makluman, lokasi penginapan resort ini dipisahkan dari kawasan awam. Justeru, tiada gangguan bunyi bising. Di sebelah malam pula hanya bunyi serangga dari hutan berhampiran yang berkumandang. Sesiapa yang berminat memancing atau menjala udang, tempat ini sesuai sekali untuk hobi itu. Jangan bimbang jika cuaca gelap. Resort ini terang-benderang pada waktu malam. Cahaya lampu neon cerah memagari sepanjang laluan pejalan kaki. Sungguh menyenangkan!
 
Panorama petang

Gunung Jerai dari kejauhan
Menjadi kelaziman hujung minggu di Pantai Merdeka penuh dengan pengunjung. Bagi saya itu perkara biasa. Namun ada sesuatu yang saya baru tahu dan ingin berkongsi dengan anda. Buat pertama kalinya, saya dan siDia cuba menikmati makanan di foodcourt. Kebiasaannya kami hanya membeli makanan ringan seperti keropok lekor atau rojak buah yang dijual di gerai yang berderet-deret di situ. Kebetulan petang itu perut terasa lapar minta diisi.
 
Kami pilih gerai ini
Rupa-rupanya tak sangka sungguh di Pantai Merdeka ini popular dengan ABC special. Rata-rata pelanggan yang makan di situ memilih ABC sebagai pemanis mulut. Apa yang istimewanya? Nah...lihat ini.
 
ABC Cornetto (saiz jumbo) RM5

Sedap ABC tu. Cuma lebih mantop sekiranya ada kacang tabur di atasnya. Aksesorinya mengandungi barli, sagu berwarna, cincau, jagung, kacang dan buah kabung.
 
Ada lagi satu nak beritahu. Nah...ini dia!
 
Nasi goreng udang telur dadar RM11
Untuk pengetahuan anda, ada 2 ekor udangbersaiz XXXL yang diletakkan . Rasa nasi gorengnya ala-ala nasi goreng cina tapi pedas. Memang kenyang perut jika dihabiskan sepinggan. ABC dan nasi goreng ini siDia yang pilih. Saya makan char kueteow. Rasanya boleh tahan tapi tiada kuchai. Hanya diperisakan oleh udang dan taugeh. Sungguh saya tak rekomen.

Kurenggg...
So, jika anda tiada apa-apa rancangan hujung minggu ini, cubalah menghala ke Pantai Merdeka. Rasa sendiri kemanisan ABC dan kelazatan nasi goreng udang. Marbeles!!

 
 

14 May 2013

Kalau dah bukan rezeki...

Sepatutnya hari ini saya dah menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu. Menghirup udara gunung dan menikmati panorama indah pantai. Menikmati keenakan makanan laut segar yang dibakar atau melawat pulau yang berlegar di sekitar.
 
Namun atas sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkan, saya dan siDia telah bersetuju untuk tidak meneruskan hasrat berbulan madu di Kinabalu. BP saya tidak stabil dan saya tidak berani mengambil risiko untuk berjalan jauh. Tambahan pula jika badan saya penat, memang pasti BP saya akan naik dan saya terpaksa bermalam di hospital.
 
Tidak mengapalah, pujuk siDia. Ada rezeki kita pergi lain kali. Biarlah rugi duit sikit asalkan kita dapat imbuhan yang tidak ternilai harganya (bidadari kecil).
 
Saya tidak terkilan. Tidak pula merasa rugi apa-apa. Sememangnya tidak semua yang kita nak, kita inginkan, akan kita dapat.
 
Pastinya bukan sekadar ke Kinabalu terpaksa kami tunda. Cuti-cuti Vietnam juga kerana pada ketika itu, InsyaAllah saya dalam tempoh berpantang. Doa saya, asalkan saya dan kandungan sihat juga selamat, itu lebih penting daripada segalanya.
 
Kun faya kun... kalau dah bukan rezeki.

29 April 2013

Kek Coklat Lembap

Ida gelak besar bila saya beritahu dia yang saya dah pandai buat kek. Apa, dia ingat saya temberang ke? Siap 3 jenis kek lagi saya dah pandai buat. Ingat tak hari tu saya post resepi kek oren tu? Ok, selain itu saya juga dah pandai buat kek buah. Resepi asalnya adalah daripada Kak Sal, mantan staf saya.
 
So, dengan bersungguhnya Ida cabar saya kek untuknya pada hari raya nanti. Dia nak tempah siap-siap. Memandangkan saya tengah hamil sekarang, dia dah pesan, jangan bagi alasan tak dapat buat kek tu. Eiii...garangnya customer. Kalau dapat 5 macam dia pun jadilah. Bukannya dia nak bantu...

Belek-belek kamera minggu lepas, terjumpa beberapa gambar yang saya snap lepas buat kek coklat tu. Dengan eksyennya, saya nak tunjuk gambar kek ni pada dia. Biar dia melopong ketakjuban. Hehe...ingat kita ni "koman" sangat ke. Tu kira baru nak tunjuk gambar. Belum buat lagi bagi dia rasa.
 
Resepi kek ini kakak saya yang bagi. Dia download daripada internet. Rasanya kalau google pun melambak-lambak resepi ni ada. Cuma antara sesuai atau tidak aje dengan citarasa. Resepi yang saya dapat ni memang sedap dan mudah. Tengok saja pun dah tau gerenti sedap. Tunggulah nanti bagi Ida rasa. Biar kali ni saya pula gempak dia hehehe....
 
Kek yang siap diabakar

Ini sos coklatnya

Tara...kan sedap nampaknya tu!
 

16 April 2013

Alahai BP oh BP!

Darah naik pulak hari ini 130/90! !
 
Setelah minggu sudah berada di paras normal, minggu ni tukar pulak warna catitan BP kepada warna merah. Missi tanya tak boleh tidur ke semalam. Segan nak mengaku tetapi memang benar 2-3 hari ini saya kerap terjaga tengah malam. Lepas tu, nak tidur semula makan masa pula sejam dua. Atau mungkin juga semalam agak penat mempengerusikan 4 mesyuarat non-stop. Hmm... jenuhlah macam ni jika berterusan sehingga 5-6 bulan nanti.
 
Mendengar saya merungut tentang BP tatkala masuk office tadi, seorang staf saya menghampiri saya untuk berkongsi cerita. Thanks Yasir. Wife dia juga pengalaman yang sama. Pada awalnya wife beliau tidak disiplin makan ubat. Sehingga pada satu masa kena stroke di pejabat. So, dia berpesan kepada saya supaya jaga tidur dan jangan culas makan ubat. Darah tinggi adalah silent killer.
 
Seriau bulu roma! Baiklah...saya memang akur makan ubat setiap hari cuma kekadang tu ada terlepas timing sebab lupa. Hmmm...baru teringat. Dah beberapa hari saya tak makan sengkuang cina yang mertua pesan suruh makan. Mak kata berkesan untuk turunkan BP dan sejukkan badan. Jus epal hijau pun tak minum. Cuma petang semalam sempat cicah epal hijau dengan kuah rojak...boleh diterima ke? Hehehe...
 
Ishk kalau tak sihat, camana nak balik mengundi di Pahang? Lagipun dah lama tak jumpa Mama dan mereka yang lain. Rindu juga kat Maryam yang hanya sempat wish happy birthday melalui telefon beberapa hari lalu. Perjalanan balik memang makan masa berjam. Kalau badan penat, bertambah pulak BP. Tapi hati rindu teringat kat keluarga.
 
Alahai...serba-salah dibuatnya...
 

8 April 2013

Minggu kelam-kabut

Minggu lepas memang minggu yang meletihkan. Macam-macam perkara berlaku. Perkara yang tidak dijangka dan perkara yang memang dah diduga. Tetapi bukanlah perkara yang tak elok didengar. Semuanya ok-ok aje.
 
Alhamdulillah...Allah kurniakan "rezeki terbaik" untuk saya dan siDia. Setelah setahun lebih berkahwin, kami berdua bakal menjadi mama & ayah (dah confirm siap-siap nak panggil apa). Setelah lewat 2 minggu, saya sebenarnya dah buat UPT sendiri. Memang naik 2 line. Cuma tak berani nak seronok awal-awal. Takut juga apa-apa tak elok berlaku. Maklumlah hal-hal macam ni banyak taboo.
 
Masuk 2 bulan lebih, saya buat keputusan untuk sahkan di klinik. Pada mulanya saya ke Klinik Kesihatan Bedong.  Lepas buat ujian, kena jumpa MA. Lepas jumpa MA, jumpa pula MD. Tetapi tak boleh buka Buku Merah kat situ kerana kediaman kami luar kawasan. Separuh hari habis masa di situ sesia aje. Kami dikehendaki berurusan di Klinik Kesihatan Sungai Lalang. Maka bermulalah episod kelam-kabut.

Pemeriksaan awal telah mengesan BP saya tinggi. Saya diminta untuk membuat daily check-up selama seminggu. Kata missi, BP yang tinggi boleh menyebabkan masalah pada kandungan. Yang lebih merbahaya lagi ia boleh menyebabkan eklampsia iaitu sejenis penyakit sawan.

Setelah dua tiga hari check-up, tiba-tiba pada pagi sabtu lepas, BP saya tiba-tiba jadi 150/110. Entah apa punya sebab la boleh naik mendadak macam tu. Kali kedua missi cuba, jadi 150/90. So, dia kata saya kena admit wad serta-merta. Kena masuk hospital. Sebab dia tak berani nak lepaskan saya balik. Dalam diam, saya tahan rasa nervous. Seumur hidup ini memang tak pernah admit wad. Panik pun ada. Saya telefon siDia minta siapkan apa yang patut dan bagitahu saya kena masuk hospital.

Yang harunya, siap kena naik ambulan ke hospital sebab klinik tak benarkan pergi sendiri. Sampai jiran depan rumah datang bertanya kenapa ambulan mai rumah. Huhu...pecah rekod sehhhh! Tiba di hospital, saya diminta duduk atas kerusi roda. Dari kaunter pendaftaran ke wad kecemasan sehinggalah ke wad sakit puan, saya disorong. Malu ada, syok pun ada...sambil senyum sorang-sorang.

Alhamdulillah...saya hanya tinggal semalam di hospital. Doktor minta saya berehat sahaja. Memandangkan BP saya ada tindak balas positif, maka saya dibenarkan keluar pada esok harinya. Doktor Fazliaton buat scan baby dan kata beliau semuanya ok. Dia tunjuk kedudukan baby, cuba kenal pasti sekiranya ada ketulan asing dalam rahim dan Alhamdulillah...tiada masalah.

Dikesempatan ini, saya merasa bersyukur dan berterima kasih kerana Allah lindungi saya sepanjang berada di hospital. Doktor dan nurse yang menguruskan saya semuanya bercakap dengan nada mesra dan sangat membantu. Makanan pun sedap. Adik-adik nurse pelatih pun sporting. Siap melepak kat katil saya sehingga habis syif sambil bercerita (tentang cinta). Sehingga rasa seronok pula tidur semalaman di situ...kwa kwa...

Ending story, doktor beri saya MC enam hari. Saya turut dibekalkan beberapa ubat. Temujanji seterusnya ialah 2 minggu akan datang. Walaupun cuti, saya tetap diminta pergi ke klinik untuk monitor BP dan urin selang sehari. Biasalah rasanya semua ibu mengandung yang bermasalah macam saya kena buat rutin sebegitu. Saya tiada bantahan. Asalkan saya dan kandungan sihat, cukuplah.

So, sempena minggu kelam-kabut berakhir, saya dah sediakan ticker baru seperti yang di bawah tu. Buat ibu-ibu baru seperti saya, semoga kita semua sihat dan dilindungi Allah sentiasa...Amin.

13 March 2013

Roti Bakar @ Roti Naik


Resepi ini memang favourite Mama. Kebetulan hari tu ada lebihan yis di rumah (sebenarnya beli 2 paket dan tak pernah guna langsung). Kata Mama, resepi ini dipelajari daripada kawan lamanya yang pernah bekerja sebagai tukang masak istana di Pekan. Resepi nostalgia ini memang terkenal terutama dalam kalangan penduduk Pekan.
 
Kata Mama lagi, sukatan bahan-bahan hanya mengikut sesedap hati. Yelah...dia dah pakar. Kalau macam saya, jika tiada sukatan tepat, alamat nak lingkuplah makanan tu hehehe. Tapi saya berjaya dapatkan resepi yang mempunyai sukatan menerusi laman web Pejabat Daerah Pekan.
 
 Bahan-bahan
  • 1kg tepung gandum3 biji telur – diambil kuning sahaja
  • 375g gula halus
  • 5g serbuk ibu roti
  • 225g marjerin
  • 75g minyak sapi
  • Mentega untuk disapu ke atas roti
  • 2½ cawan air
 Cara memasak
  • Larutkan serbuk ibu roti dalam air. Kacau dan biarkan sebentar.
  • Pukul gula halus bersama kuning telur sehingga sebati. Kemudian masukkan marjerin dan minyak sapi sedikit demi sedikit. Pukul sehingga rata. Gaulkan tepung ke dalam aduan dan tambahkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga sebati. Adunan dibahagi tiga. Uli dan lambung setinggi 1/2m adunan tersebut sebanyak 100 kali bagi setiap adunan.
  • Setelah siap, satukan ketiga-tiga adunan tadi. Perap selama satu jam di tempat yang tidak berangin tetapi panas sehingga adunan naik.
  • Setelah itu, bulatkan adunan tadi setiap sebesar telur ayam dan aturkan ke dalam loyang. Jangan terlalu rapat kerana adunan tersebut akan naik lagi. Letakkan adunan tadi di tempat yang berangin tetapi panas untuk beberapa jam supaya adunan dapat naik lagi.
  • Bakar roti pada suhu ketuhar 150° F. Sapukan sedikit mentega di atas roti sejurus dikeluarkan dari ketuhar.
Adunan dipotong mengikut saiz roti yang dikehendaki
 
Mama sedang menguli doh (saya pasti rindukan gambar ini satu hari nanti)

Doh ditaburi bijan dan sedia untuk dibakar


Masih panas...baru dikeluar dari oven


Roti nampak enak setelah disapu minyak sapi. Mengiurkan...


Roti bakar ini sedap dimakan panas-panas bersama air teh O. Sesuai dijadikan hidangan minum petang. Rasanya boleh dipelbagaikan. Selain menggunakan kismis campuran, anda boleh mencuba dengan hirisan badam, kurma atau aprikot kering. Ia boleh dimakan terus. Sekiranya mahukan kelainan, sapukan sedikit krimer manis atau kaya sebagai penyedap rasa. Memang enak!
 



13 February 2013

Dapat pahala rupanya...

Saya selalu merungut bila tengok misai atau janggut siDia tumbuh liar di muka. Cepat-cepat suruh dia cukur. Kadang-kadang dia termiss juga mencukur di hari jumaat. Tapi kerapnya dia suka beri alasan, "dah tu isteri abang tak tolong cukur, sebab tu dia panjang..." Saya pun buat muka kelat. Dah tentu tumbuh kat muka dia. Kalau muka saya dah tentu tak dan panjang, saya dah potong.
 
Kerapkali hari jumaat, memang saya tolong potong kuku siDia sebelum dia ke masjid. Tambah-tambah kuku kaki sebab siDia ada masalah urat lutut dan sukar bersila atau membengkok kaki. Cuma kalau rajin saja saya akan tolong gunting misai atau janggut dia. Sebab tak tahan tengok dia biarkan bertaut menjadi jambang. Merimaskan. Serabut. Macam daddy Simba pulak jadinya. Tapi kalau time saya malas, tok sah kata apalah. Dia sua gunting pun saya boleh buat tak nampak. Gunting la sendiri! Ada juga saya kata macam tu kat dia. Geram dengan alasan "nak bermanja" tak kena gaya tu. Malas jer lebih.
 
Astagfirullah halazim... Ya Allah ampunkan dosa saya...
 
Saya baru memulakan bacaan buku Biografi Agung Rasullullah Sallallah Alayhi Wassalam oleh Rusydi Ramli Al-Jauhari. Buku yang dihadiahkan oleh pemilik Alim Harmony Sdn. Bhd. ini telah membuka hati saya untuk kembali dengan dunia bacaan setelah lama ditinggalkan.
 
ehsan: Google
Di dalamnya saya terjumpa bahagian 10 wasiat Rasullulah kepada puterinya Fatimah Az-Zahra'. Diantara wasiat itu ialah tentang perkara ini yang mengetuk perasaan saya.
 
"Ya Fatimah, tidaklah wanita yang meminyakkan kepala suami dan menyikatnya, meminyakkan janggut dan memotong misainya serta memotong kukunya melainkan Allah memberi minuman yang didatangkan dari sungai-sungai syurga. Allah mempermudahkan sakaratul maut baginya serta kuburnya menjadi sebahagian dari taman-taman syurga. Allah membebaskannya dari seksa neraka serta dapat melintasi titian sirat dengan selamat.
 
Diam sejenak.
 
Betapa ruginya saya melepaskan peluang mendapat pahala mudah dari Allah. Sedangkan ganjaran yang diberi amat besar dan sangat bernilai. Saya pernah dengar tentang wasiat Rasullullah kepada anaknya tetapi saya tak pernah ambil berat akan perinciannya. Tak sangka pula...
 
Astagfirullah halazim... Ya Allah ampunkan dosa saya...bukalah pintu hati saya luas-luas untuk berubah...saya nak PAHALA itu.

29 January 2013

Kota Bharu - Hari Terakhir

Bangun tidur pagi ini dengan perasaan sedikit tak syok. Hari ini dah nak balik. Esok keja. Tetapi bila fikir kenangan indah jalan-jalan dan makan-makan, perasaan kembali ceria. Lainkali bila ada cuti kan boleh datang lagi...hehehe.
 
Pukul 9.00 pagi kami check-out dari hotel. Kami sudah berjanji dengan Kak Wan untuk bertemu di Pasar Siti Khadijah. Sebenarnya dari hotel ke pasar tersebut tidak jauh. Naik kereta tak sampai 5 minit. Kalau jalan kaki pun kira-kira 500m saja.
 
Sementara tunggu Kak Wan, kami bersarapan di belakang pasar. Terdapat beberapa gerai makanan telah dibuka. Kami pesan nasi dagang gulai ikan tongkol, ayam goreng berempah (kecik je) dan minuman teh panas untuk dua orang. Jumlah RM13...agak mahal. Tapi makan juga sampai abis...hehehe. Selepas makan, kami mula meronda masuk ke dalam pasar.
 
Tingkat bawah
Sebelum ini saya gambarkan pasar ini besar dan luas. Realitinya suasana seperti di Pekan Rabu, Alor Setar. Pasar ini mempunyai 3 tingkat dan dipenuhi dengan gerai-gerai kecil. Di tingkat bawah, terdapat penjual lauk basah seperti sayur, ikan, daging dan buah-buahan. Tingkat 1 dipenuhi dengan gerai produk kering seperti hasil lauk, serunding, rempah-ratus dan bawang-lada. Tingkat 2 pula terdapat gerai kain pasang, sutera dan batik. Harga kain di sini boleh ditawar. Peniaga sanggup melayan kerenah anda dengan kata-kata yang mesra. Jika anda menawar harga dengan bersungguh, pastikan anda beli. Anda mungkin dapat harga yang diingini. Tambahan pula jika anda pelanggan pertama mereka hari itu.
 
Dari Pasar Siti Khadijah, Kak Wan membawa kami berjalan-jalan di sekitar Perkampungan Kraf yang letaknya bersebelahan dengan pasar. Di sini ada dijual pelbagai produk kraf seperti bekas anyaman, produk kayu dan cetakan batik.
 

Sesaiz je ya orang dan beduk tu ;)
Teringat time bersanding dulu...ewah!

With Kak Wan...frenz forever!
Di sini juga kami berkesempatan  menikmati makan tengahari di Restoran Cikgu yang sangat popular itu.

Melebar senyum bila tengok makanan
Di sini pilihan hidangan lengkap bermula 11.30 pagi. Terdapat pelbagai ulaman, lauk-pauk kampung dan pilihan pencicah seperti budu, tempoyak dan sambal belacan. Saya lihat hampir setiap meja mesti mengambil ikan keli goreng sebagai santapan. Lihatlah saiz ikan kelinya tu, besar sungguh!
 
Puashati makan di restoran ini. Terima kasih Kak Wan belanja kami. Situ ialah destinasi terakhir kami di Kota Bharu. Memadailah percutian cara spontan. Ala-ala backpackers gitu... Walaupun sempoi, cuti-cuti Kota Bharu tetap menyeronokkan.
 
Kami berpisah Kak Wan di Wakaf Baru. Sempat bertemu Cha untuk bersalam dan mencium pipi "chubby"nya. InsyaAllah ada rezeki akan sampai lagi ke sini. Mungkin akan datang, pergi menghala ke timur pula melihat pantai di Bachok pula.
 
Anda bila lagi? 
 
 
 
 
 

28 January 2013

Kota Bharu - Hari Kedua

Awal pagi kami sudah bersiap-sedia untuk ke Rantau Panjang. Hari ini hari Jumaat dan menurut Kak Wan kebiasaannya suasana di Rantau Panjang agak lengang di sebelah pagi. Kami bertolak keluar dan singgah di Pasir Pekan untuk ambil Kak Wan.
 
Selepas berhenti sarapan di Pasir Mas, kami teruskan perjalanan. Berbanding Kuantan, bandar Kota Bharu lebih kecil dan mirip kepada kawasan pinggir bandar. Dari Pasir Mas ke Rantau Panjang mengambil masa setengah jam. Di sepanjang jalan terdapat rumah-rumah kampung dan pekan kecil.
 
Tiba di Rantau Panjang sekitar jam 9.30 pagi. Pengunjung sudah mula datang walaupun deretan kedai baru membuka pintu untuk memulakan perniagaan. Suasana di sini mirip kepada tempat jualan di Padang Besar. Bezanya di sini jumlah kedai mungkin 3x ganda banyaknya dan kita ada pelbagai pilihan untuk produk untuk dibeli.
 
Keseronokkan dapat menjejakkan kaki ke sini membuatkan saya terlupa untuk mengambil gambar sebagai kenangan. Tetapi anda mungkin boleh juga Google untuk mendapat gambaran suasana.
 
Lihat kain tudung bergantungan di belakang Kak Wan
Jika di Wakaf Che Yeh banyak tudung bawal di jual, di Rantau Panjang pula ada banyak pilihan tudung awning. Dari kain t-shirt sehinggalah kepada sifon 2-3 lapis. Trend terkini ialah tudung kristal bergantung. Terasa rugi pula tak snap gambar. Memang langsung tak ingat. Harganya pula lebih murah dan dapat lagi potongan sekiranya dibeli banyak.
 
SiDia membeli jeans Levi's material kepala kain. Harga asal RM40, diskaun RM32. Saya beli 3 helai tudung awning kain t-shirt. Harga asal RM40 dan RM35, diskaun dapat RM28 setiap helai. Sempena nak ke KK bulan Mei nanti, kami juga membeli beg galas Deuter 60+10L dengan harga RM70. Kapasiti dan brand yang sama di Wakaf Che Yeh berharga RM100-150. So, memadailah beli satu sahaja kerana bila ke Vietnam nanti boleh beli lagi. Saya dapat tahu di Vietnam, beg Deuter saiz besar pun baru RM50 kerana Deuter ada kilangnya di sana dan harga sememangnya jauh lebih murah.
 
Balik dari Rantau Panjang, kami singgah ke Wakaf Baru iaitu rumah kakak Kak Wan. Mereka menjamu kami dengan nasi dan pulut kuning. Kek juga ada sempena birthday Cha (Hasya) cucu saudara Kak Wan yang berumur 3 tahun. Keluarga Kak Wan ramah-tamah belaka. Berada bersama mereka terasa seperti dalam keluarga sendiri.
 
Dari Wakaf Baru, kami ke Pasir Pekan untuk menghantar Kak Wan. Untuk pengetahuan, rumah Kak Wan terletak di pinggir Sungai Kelantan. Kami sempat lepak di tepi sungai sambil menikmati suasana petang dengan hembusan angin sejuk yang mengasyikkan.
 
Cha dengan gaya peace...
Next time datang, saya nak berkelah di sini. Lokasi memang menarik. Lebih menarik lagi di pinggir sungai ini boleh memancing.
 
Sampai di hotel kami sudah keletihan. Mata mulai layu dan tidak beberapa lama kemudian zzz....
 
Di sebelah malam, kami sekali lagi ke PCB untuk mencari makan. Asalnya nak makan di Zaeman Nasi Kukus yang famous tu. Tetapi malam ini kedainya tutup. Kami cuba juga meronda di sekitar bandar untuk mencari kedai makan yang happening, tetapi tiada yang menarik hati. Kebanyakkan kedai sini tutup pada jam 7 malam.
 
Di PCB, kami memilih untuk makan di gerai Cinta Selera. Kalau anda perasan, gerai ini agak menonjol dari gerai-gerai lain. Ramai juga yang makan di sini. Kami memesan nasi putih, sup tulang, ikan kembung masak manis (seekor), kangkung belacan dan minuman teh o panas, nescafe panas dan oren ais. Sementara menunggu hidangan sampai, siDia mengambil 2 cucuk sosej dan isi ketam serta 2 ekor ikan kembung saiz L celup tepung yang baru sahaja digoreng. Alhamdullilah...makanan di gerai ini sedap dan segar. Keseluruhan harga RM40.
 
Selepas makan, kami berehat-rehat di pantai sambil menyaksikan bulan dan bintang. Memang leka melihat panorama malam di situ. Sekali-sekala kelihatan cahaya berkelip kapal terbang yang melintas di dada langit. Angin menderu dan ombak kuat menghempas pantai.
 
Apabila jam menunjukkan pukul 11 malam, kami mula mengundur pulang. Seronok ke sini. Satu hari nanti kami ingin datang kembali. 
 

Kota Bharu - Hari pertama

Beberapa hari yang lalu, saya ada terbaca entry tentang jalan-jalan ke Kota Bharu oleh Puan Aziela di sini. Asalnya melihat info mengenai tempat shopping yang ada. Tiba-tiba aje tergerak hati nak ke Kota Bharu. Saya tak pernah ke sana. SiDia juga. Saya call kak Wan bertanyakan tentang apa yang menarik di Kota Bharu. Dia kata kalau nak pergi, timing eloklah sebab kebetulan dia pun pulang sempena cuti umum yang panjang.
 
Perjalanan ke Kota Bharu terasa sangat lama kerana most all the times kami jumpa hutan di kiri-kanan. Pemandangan mula menjadi menarik apabila kami mula mendaki Banjaran Tititwangsa dengan ditemani udara pagi yang dingin dan nyaman.
 
Singgah sebentar di Hentian Titwangsa untuk berehat
Setelah berhenti rehat, perjalanan kami diteruskan dengan laluan yang berbelok yang panjang. Kadangkala mendaki, kadangkala menurun. Sampai pening dibuatnya walaupun saya sekadar peneman pemandu. Mungkin disebabkan ini kali pertama melalui perjalanan ke sana.
 
Kami sampai ke Kota Bharu hampir jam 4 petang. Suasana bandar ketika itu agak lengang. Mungkin kerana cuti umum sempena Maulidurrasul. Selepas makan, kami mencari hotel untuk menginap iaitu Hotel Harmoni yang terletak di Jalan Temenggong.
 
Hotel ini ialah hotel bajet yang binaan asalnya adalah lot kedai 3 tingkat. Info tentangnya saya perolehi ketika membaca cerita Pn. Aziela. Benar seperti kata beliau, hotel ini bersih dan selesa. Ia mudah ditemui kerana terletak di sebelah kiri selepas bulatan Menara Jam. Bilik yang kami pilih berharga RM65 iaitu bilik berkatil kelamin tanpa tingkap. Walaupun ruang bilik terhad tetapi dengan kemudahan aircond dan water-heater disediakan, saya rasa harga bilik amat berbaloi. Parking tiada masalah. Petak parking banyak di tepi bangunan kedai dan cctv dipasang demi keselamatan kenderaan tetamu hotel. Lokasinya juga strategik. Terletak di pusat bandar dan berhampiran dengan Pasar Siti Khadijah.
 
Penat dengan perjalanan yang panjang, kami berehat sahaja di hotel petang itu. Lewat petang, kami ke Pantai Cahaya Bulan yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan arah utara. Deruan ombak dan hembusan bayu laut menyambut kedatangan kami. Di sepanjang pantai ini terdapat deretan gerai-gerai yang menjual sate bebola dan makanan panas. Dengan perut yang lapar, kami singgah ke gerai Selera Warung untuk mengisi perut.
 
Suasana petang yang meriah di PCB
Sate bebola dan makanan laut celup tepung
Ketam XL celup tepung RM15/ekor

Selera kami merosot setelah merasa makanan di gerai ini. Ketam tidak segar dan sosnya juga kurang berperisa. Namun kami habiskan juga kerana harga telah dibayar. Selepas makan, kami ke tepi pantai dan berehat menghirup angin malam.
 
Selepas itu kami pulang ke hotel dan berjanji dengan Kak Wan untuk bertemu. Sementara menunggu Kak Wan, kami duduk di restoran tingkat bawah hotel dan memesan murtabak untuk mengisi perut yang selera sudah terbantut tadi. Tak sangka pula murtabak di situ sedap. Menurut Kak Wan, murtabak itu sangat popular di Kota Bharu dan intinya padat dengan daging dibuat dari daging tempatan.

Makan murtabak bersama teh panas...ummph!
Malam itu, Kak Wan membawa kami ke pasar malam di Wakaf Che Yeh. Perjalanan ke situ kira-kira setengah jam dari hotel. Pasar malam ini seperti uptown di kawasan KL. Pelbagai barang seperti pakaian, tudung, t-shirt jersi, makanan dan beg di jual di sini. Kawasan jualan juga luas dan terletak di belakang lot-lot kedai. Berbeza sekali dengan gambaran saya yang sangkakan pasar ini seperti pasar di Padang Besar.
 
Di sini saya tidak membeli apa-apa barang. SiDia membeli t-shirt sehelai untuk dipakai esok. Boleh dikatakan harga barang-barang di sini adalah tetap dan tidak boleh ditawar. Rata-rata gerai menjual barang yang hampir sama. Justeru saya sekadar bertanyakan harga dan bandingkan apabila ke Rantau Panjang nanti.
 
Kami berhenti minum di gerai makanan di situ sebelum pulang ke hotel. Badan masih letih dan mata mula mengantuk. Selesai makan, kami menghantar Kak Wan pulang dan kembali ke hotel.

16 January 2013

Prolog Cuti-cuti Vietnam

Salam semua...
 
Hehe...agak terkejut gitu dengan entry kali ini? Tambah terkejut tengok ticker kat sebelah tu kan. Yalah, manakan tidak baru sahaja prolog untuk Kinabalu, dah bersambung pula dengan prolog Vietnam.
 
Tahun 2013 ini saya buka entry dengan cuti-cuti. Sebenarnya memang tak ada planning pun nak keluar negeri pun. Tambahan pula dah confirm ke Kinabalu pada Mei nanti. Namun, beberapa hari lepas, saya diproposed oleh teman ofis untuk ke Vietnam sempena tiket tambang murah dari Air Asia. Oleh kerana harga tiket yang sangat reasonable itu dan trip secara berkumpulan, saya terus bersetuju.
 
Berapa harga? Hmm...untuk tiket Penang-KL-Ho Chin Minh dua hala dan untuk dua orang, RM648. Jumlah ini termasuk dengan total service charge dan tambahan bagasi 20kg sewaktu hala balik nanti. Kalau kira untuk seorang, jumlahnya ialah RM324. Bagi orang yang tak pernah ke luar negara macam saya ni (baru nak merasa) murah la. Harga tiket tu kurang lebih macam saya ke KK juga. Cuma bezanya trip ini menggunakan pasport...itupun belum ada lagi.
 
Memandangkan kami akan pergi bulan November, maka masih banyak masa untuk himpun duit buat perbelanjaan di sana. SiDia pun dah bersetuju akan support kos buat pasport. Perbelanjaan membeli-belah ke Kinabalu pula akan 'dikuruskan'. Sesuailah dengan tema Kinabalu untuk berbulan madu, maka saya rasa fokus kewangan akan lebih ditumpukan untuk ke Vietnam. Tak naklah sampai berhutang semata-mata nak pergi bercuti.
 
Well...now I can start with collect info about hotel and etc. Satu perkara yang saya baru tahu, rupa-rupanya orang Malaysia pergi Vietnam macam pergi ke Bandung. Ramai, kerap dan tujuannya untuk bershopping. Psstt...senyum tirus siDia kalau dengar ni hehehe...