“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”

31 December 2012

Doa hamba



Ya Allah...aku mengalami kesusahan hati hari ini. Telah ku terima khabar yang tidak menyenangkan. Mengenai orang-orang yang ku kenali. Tentang perkara yang tidak dijangka. Percaya atau tidak, bukan itu keutamaanku. Namun perihal yang dimaklumkan, menjadikan aku gusar dan berasa buntu.

Y Allah...Hati ini telah ku letakkan racun agar serangga prejudis tidak mengerit daun-daun kesabaran. Telah aku suburkan dengan baja kejujuran agar terus berkesinambungan dengan keyakinan lalu bunga-bunga keamanan mekar gemilang.

Google imej

Ya Allah...aku hanya sekadar hambaMu yang lemah. Kukuhkanlah pagar-pagar usaha yang telah aku pacakkan sewaktu kali pertama jejak ku langkah. Perkasakan taman jasa ini dengan nur iman dan barakahMu. Jangan biarkan semangatku layu meruntun lalu kalah.

Aku mahu menjadi yang terbaik untuk mereka! Aku mahu yang terbaik untuk mereka! Aku mahu mereka menjadi yang terbaik!

Limpahkanlah kasihMu kepadaku Ya Allah. Doronglah aku kepada haluan yang pasti. Restuilah niatku. Berkatilah usahaku. Hindarkanlah daripada sebarang malapetaka dan bencana yang tidak terduga. Aku perlukan pertolonganMu kerana aku hanyalah hambaMu.

Amin.



Sehari selepas waktu berlalu...

Terima kasih Ya Allah kerana Engkau Maha Mendengar rayuanku...Maha Mengasihani atas kelemahanku. Terima kasih kerana telah menguatkan hati ini dengan kesabaran. Kau kuatkan lidah ini dengan perkataan yang baik. Kau jauhkan fikiran ini dari persepsi ingkar dan dosa.

Bagaimana bersungguh aku ingin memahami mereka dan menerima mereka dengan seadanya, begitu juga mereka memahami keikhlasanku hanyalah untuk kebaikan semua. Kekalkanlah silaturrahim ini Ya Allah agar kami bersatu di bawah lembayung hidayahMu.

Alhamdulillah.
 

18 December 2012

Bahulu

Apa yang anda pilih untuk diberi kepada tetamu yang datang merai majlis nanti?

Saya telah pilih ini.


Bukan kotak buku. Tapi di dalam ini ada bahulu kemboja atau ada juga memanggil bahulu pecah 8 yang diberi untuk tetamu. Nyinyi yang pakar bab membeli-belah telah jadikan ini sebagai idea cenderahati tetamu utama. Walau asalnya saya memang "rapat" tang bajet, tapi bila kakak saya yang sorang ini propose, saya memang gagal untuk menolak.
 
Jika berkenan, bolehlah menghubungi beliau
Ditepi kotak bahulu ini, ada disediakan cara untuk menghubungi pengeluarnya. Harga saya rasa boleh dirunding kerana kakak saya hanya beli untuk 200 kotak.  Kata kakak saya, pengusahanya (Puan Shida) memang ramah dan tepati janji. Pesanan pelanggan memang banyak sewaktu kakak membuat tempahan tetapi dia tetap memberi layanan yang baik dan tempahan siap tepat pada waktunya.
 
 Selain itu saya juga pilih ini.
 
Cenderahati untuk kawan-kawan
Didalam bekas bersarung ini saya letakkan sepotong bahulu gulung bersama telur rebus. Kombinasi 2 makanan ini memang tak setara. Tetapi saya tetap komited untuk bagi telur rebus kepada tetamu macam orang dulu-dulu. Bahulu gulung tu kakak saya tempah di www.rozybakery.blogspot.

Saiz mini
Bahulu gulung dari Puan Rozi ini memang sedap. Jika ia diletak dalam suhu bilik, bahulu ini boleh tahan sehingga seminggu. Jadi tidak perlu bimbang sekiranya kita beli awal. Kalau nak ambil lagi 2-3 hari majlis, takut kita pula yang jadi kelam-kabut.
 
Begitulah tentang cenderahati tetamu saya. Cenderahati anda bagaimana pula?

20 November 2012

Tahniah Mohamad Arif Izzuddin!

Sebagai mak saudara, saya tumpang gembira apabila anak Jamie berjaya mendapat 4A1B dalam UPSR yang diumumkan semalam. Mungkin keputusan itu taklah seberapa berbanding mereka yang dapat 5A. Tetapi bagi saya yang memerhatikan perkembangan anak ini dalam pelajarannya, itu adalah satu kejayaan yang amat membanggakan kerana buat julung kalinya, inilah kali pertama Arif dapat 4A dalam peperiksaan sekolah.
 
Saya cuma mendengar khabar gembira ini melalui telefon. Tetapi saya dapat membayangkan wajah gembira Jamie dan Abang Mod sebagai ibubapa yang menantikan detik gembira ini dengan penuh cemas. Memang berbaloi usaha Jamie yang bersengkang mata dan menahan sabar membimbing Arif dalam pelajaran. Tidak cukup tuisyen berbayar, Jamie turut mengajar Arif di rumah. Itu tidak termasuk leteran, nasihat dan, peringatan yang sentiasa disumbatkan ke dalam telinga Arif. Maklumlah...budak lelaki bukan mudah makan nasihat. Tambahan pula sedang membesar melangkah alam remaja. Setiap kata Mamanya, ada saja yang disanggah.
 
Hari pertama sekolah sebagai pengawas
Senyuman nakal...
Dah mula pandai nak bergaya
Saya agak, sejak malam tadi Jamie dan Arif sudah boleh tidur lena. Debaran keputusan telah berakhir. Dengar-dengar semalam mereka sekeluarga makan KFC meraikan kejayaan. Cara typical keluarga kami. Untunglah si anak. Dapat keluarga yang prihatin dan berkemampuan.
 
Sudah pasti di luar sana suasana begitu dialami oleh ramai keluarga. Kejayaan sebenar bukan terletak kepada berapa A yang diperolehi. Tetapi bergantung kepada usaha, masa dan doa yang dicurahkan oleh seluruh ahli keluarga. Selain itu, nasib turut menjadi tempias. Kepada pelajar yang kurang bernasib baik, saya doakan kalian berjaya di masa akan datang. Jangan jadikan kegagalan hari ini sebagai penamat usaha. Jadikanlah ia sebagai permulaan satu kejayaan.
 
Kepada Mohamad Arif, ketahuilah keluarga sentiasa menyokongmu. Sentiasa sayang dan doakan yang terbaik buatmu. Semoga Arif menjadi insan cemerlang yang beriman dan berguna kepada agama, keluarga dan negara, amin.
 
 

4 November 2012

Cameron Highlands

Cuti hujung minggu baru-baru ini saya mengikuti trip ke Cameron bersama rombongan tempat kerja. Trip hanya sehari. Pergi pagi dan balik petang. Seingat saya, kali terakhir saya ke situ pada tahun 2010. Juga bersama group pejabat kerana ada mesyuarat.
 
Kali ini saya bawa anak saudara Sidia, Aqilah (kakak) dan Atibah (adik). Kebetulan masih ada seat kosong. Tambahan pula, kedua beradik ini jarang berjalan jauh dan tidak pernah ke Cameron Highland. Bila dapat tahu akan ke sana, kedua mereka terlalu excited.
 
Aktiviti trip dimulakan dengan pertemuan dengan tenaga kerja PDK Sinar Pelangi. Mereka sangat peramah dan bermurah hati memberi jamuan ringan ketika kami sampai. Kami buat aktiviti cop berwarna dan tanam "pohon kenangan".
 
Dari PDK, kami bergerak ke Taman Agrotek MARDI. Seronok sungguh kakak dan adik bergambar dengan bunga. Apatah lagi dapat tengok dan makan buah strawberry. Hujan gerimis lansung tidak mengganggu emosi mereka. Malah, kesejukan tanah tinggi membuatkan mereka bertambah ceria. 
 
Taman Agrotek MARDI
 
Rimbunan flora di sini-sana
Taman Daisy
Peace...
Sweet pink roses
 
Mawar putih
 
Kata adik, bangunan ini macam gereja...hmmm
Kami berada di MARDI sekitar 1 jam. Dari sana, kami bergerak ke Masjid Abu Bakar untuk menunaikan solat. Selepas itu, kami bergerak ke pasar malam Brinchang untuk membeli-belah. Masing-masing bergerak dalam kumpulan dan tak sabar-sabar untuk melihat apa yang ada di situ. Nak tahu apa yang kakak dan adik beli?
 
Ada gaya pelancong ke oversea tak? Hehehe....
Saya bahagia melihat mereka gembira. Kata kakak, "syoknya kalau kita dapat dok lama kat sini." Saya tahu kakak tak puas berjalan sebab masa sangat singkat. Takpelah kak, ada rezeki kita datang bermalam di sini.
 
Sekian.

30 October 2012

Bulan madu di Kinabalu - Prolog

Tajuk entry kali ini macam slot drama pulakkan...hehe. Sebenarnya itu adalah perancangan untuk tahun 2013. Tahun ini kami telah ke Terengganu. Sebab itu tahun depan nak ke sana pula...seberang laut. Tapi belum sampai tahap ke luar negara. Kewangan masih belum mengizinkan. Tetapi doa saya, bulan madu akan datang dapat juga ke luar negara, InsyaAllah.
 
Lanjutan daripada AirAsia telah buat jualan tambang murah awal minggu ini, saya telah menempah tiket ke Kota Kinabalu pada bulan Mei tahun depan. Kosnya memang amat murah berbanding harga semasa. Justeru, setelah puas mengambil kira dari semua segi, saya sahkan tempahan penerbangan untuk saya dan SiDia. InsyaAllah, penerbangan kami bermula dari Alor Setar - Kuala Lumpur - Kota Kinabalu. Lebih jimat masa dan kurang memenatkan. Tujuan utama hanya untuk berbulan madu, menghabiskan masa berdua. Menikmati bersama dunia ciptaan Allah.
 
Sebagai pembakar semangat, saya sudah letakkan ticker di sebelah kanan sana. Bila sudah ada tiket ini, mulalah idea bercuti datang mencurah-curah. Kena ambil perhatian terhadap perkara asas seperti penginapan, makan-minum, pengangkutan serta tempat-tempat menarik yang berbaloi dikunjungi. Maklumlah percutian masa singkat. Hanya 3 hari 2 malam. Kalau ikut hati nak pergi lama. Tetapi ada kekangan lain. Tak mengapalah...asalkan dapat menjejak kaki pun sudah memadai.
 
Teringin nak bergambar berlatarbelakang Gunung Kinabalu
Tempat yang paling saya teringin pergi sudah pasti Kundasang. Nak tengok Gunung Kinabalu secara nyata. Nak panjat...ermm memang tak mampu. Teringin nak rasa nyaman bayu gunung. Nak hirup udara segar tanah tinggi.
 
InsyaAllah...
 
 
 

23 October 2012

Masak lemak kuning jantung pisang

SiDia dalam proses membersihkan kebun dan membawa pulang dua biji jantung pisang ke rumah. Mama dengan segera mendapat idea nak masak apa. Saya? Idea makan je...hehe. Bukan sengaja menyusahkan Mama, tetapi sepanjang dia tinggal bersama memang saya tidak sekat seleranya. Biarlah dia makan apa yang teringin tanpa skip makan ubat. Sekiranya berlaku apa-apa, tidaklah rasa terkilan di hati.
 
Ok, seperti tajuk entry, lauk peneman makan nasi tengahari ialah masak lemak kuning jantung pisang. Resepinya mudah saja.
 
 
Bahan-bahan
2 biji jantung pisang
RM2 santan (1/2 biji kelapa kot)
1 batang serai
5 biji cili padi
1cm kunyit hidup
1 biji buah keras
sedikit ikan bilis
garam ikut rasa
 
Cara memasak
Jantung pisang perlu dibuang kulit merahnya sehingga tinggal kulit putih kekuningan. Kemudian, potong empat dan direbus sekejap (5-10 minit). Sementara itu tumbuk cili padi bersama buah keras dan kunyit hingga lumat. Kemudian tumbuk kasar ikan bilis dan serai dalam lesung yang sama. Resepi ini memang tidak gunakan bawang so tak perlu letakkan. Bila jantung pisang dah lembut, hiris melintang agak-agak lebar 1cm. Setelah selesai, masukkan kembali ke dalam periuk dan isikan santan. Kemudian, masukkan bahan yang telah ditumbuk dan barulah dinyalakan api dapur.
 
Gunakan api sederhana dan kacau sekali-sekala untuk mengelakkan santan pecah minyak. Bila kuah dah menggelegak, boleh la dipadamkan api dan siap dihidang.
 
Nota: Kalau ikut cara Mama, jantung pisang juga sedap dibuat masak lemak putih. Caranya juga sama cuma cili padi digantikan dengan lada hitam. Nak sedap lagi ditambah dengan isi ikan bakar atau ikan rebus. Mantopp!
 
Selingan: Mama bergambar dengan anak buah saya
 

14 October 2012

Kebun mini belakang rumah

Inilah kebun saya.


Tidaklah seluas mana
Pokok kari, kuchai, lada, , cekur manis, limau purut dan limau kasturi.

Saya mula bercucuk tanam ni sudah lama. Sebelum pergi ke Pulau Pinang. Tetapi masa tu, tidak dapat tumpukan sepenuh perhatian kerana hanya pulang pada hujung minggu. Pokok-pokok seakan hidup segan mati tak mahu. Sekarang, bila dah menetap di sini sepenuh masa, saya boleh uruskan kembali kebun mini ini.
 
Pokok kunyit yang kurang sihat
Walaupun bersaiz mini, tetapi sumbernya memadai untuk hidangan kami berdua. Bukan ramai pun nak makan. Saja untuk suka-suka. Sejak Mama ada, dialah yang rajin tengok-tengokkan. Pantang ada biji sayur atau buah, pasti disimpan untuk dijadikan benih.
 
Pokok cekur dan anak pokok laici king. Sebelah tu pokok selasih.
 
Di kebun mini ini jugalah tempat favourite siDia. Kadang-kadang senyap-senyap dia duduk bersendirian di sini sambil membaja pokok, menyembur racun atau 'meracun' diri sendiri (smoking) hehehe....
 
Pada masa akan datang, saya akan buat entry untuk kebun mini ini. Banyak yang saya nak kongsikan dengan anda. Mungkin hobi saya ini, juga menjadi hobi anda.

10 October 2012

Di telapak kaki bonda

Saya jarang mendapat kesempatan untuk berdampingan dengan Mama sejak tamat bersekolah. Kehidupan saya kian menjarakkan kami berdua tatkala saya mula melanjutkan pelajaran ke IPT. Kemudian saya terus bekerja dari satu tempat ke satu tempat. Sehinggalah sekarang saya menetap di utara.
 
Kesempatan selepas berkahwin dan kembali menetap di rumah sendiri, peluang inilah yang diambil untuk Mama tinggal bersama saya. Mama dah lama teringin nak datang ke utara. Sebelum ini saya berulang-alik ke Penang. So, agak susah untuk bawa dia bersama kerana saya menyewa bilik di sana dan hanya pulang tika hujung minggu. Tapi bila dah dapat kembali ke rumah sendiri, saya rasa inilah masa yang sesuai dia tinggal sekali.

Tinggal bersama orang tua tatkala kita telah dewasa, sangat berbeza waktu kita tinggal bersama mereka semasa kecil. Kali ini, kita pula yang perlu lebih memahami kerenah dan punya kesabaran yang tinggi untuk melayan kemahuannya. Memandangkan telah 12 tahun arwah Baba meninggalkan kami, saya lihat Mama sebagai seorang ibu yang kesunyian yang perlu lebih perhatian dari segi emosi dan fikiran.

Mama saya
Hampir setiap hari Mama akan memasak dan menunggu saya pulang kerja untuk makan bersama. Adakalanya saya tidak benarkan dia memasak. Tetapi kata beliau, dia suka begitu. Jadi saya biarkan sahaja. bimbang kalau disekat, merajuk hati. Walau kenyang makan di pejabat, di rumah saya tetap makan untuk menjaga hati Mama. SiDia pun saya beritahu perkara yang sama. Orang tua kalau dah terasa, susah untuk dipujuk. SiDia saya tu, rajin melayan. Kehendak yang keluar dari bibir Mama, dia segera usahakan. Terutama jika Mama teringin makan sesuatu.

Pernah saya mengingatkan,"Mama tu kena pantang. Bukan boleh makan sebarangan."
Jawab Mama," tak larat nak pantang dah. Time nak sakit, sakit juga."
Saya diam. Dalam hati, kata-kata Mama ada benarnya.

Waktu makan-makan di Kuala Perlis


Seronok tengok Mama berselera

 
Makan ketam masak kicap
Itu time OK. Ada ketika, dia berserabut memikirkan sesuatu, emosinya juga terganggu. Waktu itu, bersedialah "urut" cuping telinga. Kita yang tiada kena-mengena pun termasuk dalam leterannya. Namun saya tidak terusik dengan leteran itu. Biasalah...manusia adalah unik. Tak perlu kita fikir keterlaluan. Memadai hanya menggangap itu perkara normal dan berlaku pada semua orang.

Bagi saya, biarlah saya manafaatkan kesempatan yang ada bersama beliau. Entah dia yang dulu "pergi", atau saya lebih awal daripadanya. Saranan saya, walau anda ada mama atau baba yatau sesiapa pun orang yang anda sangat sayang, hargailah dia ketika masih ada. Tunjukkan kasih sayang anda yang tulus itu. Belailah jiwanya. Kadang-kadang bukan harta yang mereka minta, tetapi sentuhan cinta kita yang dapat menyuburkan hatinya.

5 September 2012

Sepakat membawa berkat

Khamis minggu lepas staf di pejabat buat gotong-royong mengemas tempat kerja masing-masing. Mereka yang mohon kebenaran berbuat demikian, bukan disebabkan arahan atau rungutan sesiapa. Barangkali mereka inginkan suasana baru yang lebih selesa. Ataupun nak menambah keserasian bekerja.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
 
Sejuk hati saya memandang mereka melakukan kerja secara bersama. Teringat sewaktu saya bekerja di tempat lama. Apabila sama-sama melakukan kerja, segala kekusutan hati hilang. Diselang-seli dengan usik-mengusik dan gelak ketawa. Walaupun asalnya dalam hati ada selumbar yang pernah menikam. Faham maksud saya? Hehehe...
 
Manusia tidak pernah lepas dari membuat kesalahan. Bila berlaku, kita cepat-cepatlah minta maaf. Terutama di tempat kerja yang melibatkan kawan-kawan yang tiada pertalian darah. Kalau saudara-mara, air dicincang tidak akan putus. Tetapi kalau dengan kawan-kawan, andai kata mereka berat untuk memaafkan, berat juga untuk kita mendapat rezeki dan kegembiraan semasa bekerja.
 
Rakan sekerja umpama cermin diri kita. Jika kita membuatkan mereka gembira, maka kita juga akan gembira. Kalau melihat kita membuatkan mereka serabut fikiran dan membantutkan semangat kerja, nescaya kita juga akan rasa begitu.
 
Pendek kata, cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Saya ingat pesan Kak Na, bos saya yang paling banyak memberi impak dalam membentuk peribadi saya sebagai pekerja. Kita bekerja sebagai satu pasukan. Tiada istilah hang, hang atau aku,aku. Anggaplah rakan kerja sebagai adik-beradik. Susah sama-sama. Senang sama-sama. Sesekali bertengkaq ka...bergaduh ka...tak pa. Lepaih tu bebaik la. Jangan melarat sampai menjadi dendam. Tak rugi kalau kita sayang kawan-kawan.  

Sebenarnya kita tidak pernah keseorangan walaupun kita sendiri yang berasa demikian. Kawan-kawan adalah sama pentingnya dengan diri sendiri. Andai mereka salah arah, tegurlah dengan berhemah. Bimbing mereka ke arah yang betul. Andai mereka salah, maafkanlah dan teruskan persahabatan.

Mengkritik itu boleh, tetapi biarlah wajar. Ada caranya untuk melempiaskan rasa di hati. Bukan membuat komen berterusan tidak berpada. Namun saya percaya, setiap manusia wajar diberi peluang kedua. Sekurang-kurangnya kita memberi peluang untuk memahami mereka dan kita sendiri. Kita bukan manusia hebat tanpa mereka. Kesepakatan bersama pasti memberi berkat kepada semua. 

29 August 2012

Syawal 1433H

Salam lebaran semua...
 
Syawal 1433H telah berlalu. Pastinya pelbagai memori membalut jiwa mereka yang melaluinya. Menjelang syawal, saya diduga dengan masalah roadtax yang gagal diperolehi pada tarikh yang dijanjikan oleh pihak bank. Kelam-kabut dengan persiapan nak balik kampung, sibuk mencari baju raya siDia, menunggu respon syarikat insuran kereta dan macam-macam lagi. Tetapi akhirnya semua dapat selesai dan dipermudahkan Allah. Alhamdulillah.
 
Tahun ini merupakan tahun pertama saya dan siDia beraya bersama. Memang berlaku perubahan suasana terutama membuat keputusan berkaitan dengan persiapan raya. Tema warna pakaian tahun ini ialah warna coklat (sebelum tu pilih warna peach tapi susah nak cari baju warna yang sedondon).

Segaknya suamiku berbaju melayu
 
Sedondon berdua
Kuih raya pula pecah rekod. Manakan tidak, first time dalam hidup beli kuih raya sampai 20 bekas. Hahaha...jangan la terkejut. Bukan untuk kami berdua makan. Tetapi untuk diagihkan kepada 3 rumah, rumah saya, rumah mak saya dan rumah mak siDia. Kalau tidak, saya selalunya beli kuih raya 2-3 bekas aje. Tu pun untuk saya makan. Siap dapat sindiran percuma daripada kakak yang selalunya merekalah yang membuat biskut atau membeli kuih raya untuk rumah mak.
 
Kelaziman keluarga saya akan berhimpun di rumah mak di Pahang. Saya mempunyai 4 adik-beradik perempuan yang akan bertungkus-lumus memasak hidangan menjelang petang raya. Selalunya kerja-kerja itu diketuai oleh Kak Long. Saya ni follower je. Menu? Hidangan utama ialah ketupat nasi daun kelapa, rendang daging, rendang kunyit ayam, serunding kelapa, daging goreng sate dan kuah kacang. Kadang-kadang tu kakak akan buat menu tambahan seperti lontong dan sambal sotong kerana abang ipar orang jawa.
 
Tahun ini, Kak Long sekeluarga beraya bersama kami. Jadi menu berbuka petang raya adalah bihun sup tulang kerana Abang Long orang Kedah. Rezeki siDia juga dapat menikmatinya kerana juga berasal dari Kedah. SiDia pula makan ketupat pulut palas dan tidak makan ketupat nasi.
 
Keluarga oren (kak long)
Atas permintaan siDia, saya tambah 1 lagi menu berbuka di petang raya. Gulai tulang berempah. Itu nama komersialnya. SiDia bagi senarai bahan. Saya tukang masak. Belasah je la. Saya pernah tengok mak mertua buat tetapi tak ambil peluang untuk belajar. Jadi atas dasar kasih-sayang, saya buat jugalah walaupun main congak dalam kepala je. Jadi tu memang jadi tetapi rasa tak seperti yang dibayangkan hehehe... Itupun kakak saya tolong alter apa yang patut (sambil mengomen).


Beramai-ramai (saya jadi photographer)
Perkara yang menyentuh perasaan, pastinya tatkala bersalam dan bermaafan terutama dengan siDia. Barangkali kerana kali pertama, maaf-memaafi itu disertai dengan air mata yang bergenang di kelopak. Kala itu, sebak mengulit hati yang ikhlas. Tak mampu untuk bercakap panjang. Hanya pelukan menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Wakil keluarga biru
Bermaafan dengan kakak, abang dan adik serta ipar-duai disertai dengan pelukan dan ciuman. Begitu juga dengan anak saudara yang tak sabar-sabar nak ambil sampul raya setelah bersalam. Inilah nikmat lebaran. Perkara yang selalunya dilakukan setahun sekali.
 
Keluarga pepel bersama anak sulung (tengah)
Sama kaler dengan sarung kusyen...kua3x

Ni anak pepel  no.2
Istimewanya tahun ini, buat julung kalinya anak angkat Mama yang tinggal di Bengkalis, Indonesia datang beraya bersama-sama kami. Kak Senah duduk di hadapan bertudung hitam. Mereka tinggal dengan kami selama 5 hari. Sungguh meriah. Tambahan pula hampir 16 tahun tidak bertemu. Tetapi masa tidak menghakis kenangan.

Abang Hasan (suami Kak Senah)
 
Gambar beramai-ramai
 Begitulah kisah syawal kami tahun ini.
 
 
 

26 July 2012

Tumis air brokoli

Masuk hari ke-6 berpuasa, saya mula hilang idea nak memasak menu untuk sahur. Pertamanya kerana sudah jemu makan nasi setiap hari. Tetapi siDia memang jenis kena makan nasi. So, tiada pilihan la makan menu lain. Keduanya, saya memang lemah bab memasak. Bukan saya tak cuba mencari resepi tetapi penatlah memasak hari-hari. Kena bangun awal pagi pulak tu (eh eh...saya tak berniat nak mengomel. Cuma kalau ada orang yang rajin masak dok sekali kan syok!)


Semalam, siDia dah bagitau supaya buat lauk simple aje. Dah boring hari-hari makan lauk sambal atau gulai. SiDia minta buat brokoli tumis air. Saya pun ok aje. Lagi senang kerja. SiDia memang suka makan brokoli. Lebih-lebih lagi bila dimasak bersama mee segera atau teman kepada sayuran dalam ikan masam manis. 

Awal dinihari, saya bangun dan mula memasak. Saya rendam sedikit fucuk kering dan suhun yang tersedia dalam peket sebagai pelengkap. Tak sedap sayur air tanpa bahan ini. Sambil menanti ia kembang dan lembut, sebiji bawang merah dan 2 biji bawang putih dikupas dan ditumbuk. Kadang-kadang orang tak suka guna banyak bawang putih kerana baunya. Tapi saya, kalau buat masak air atau sup, memang lebihkan bawang putih. Lebih wangi. Sebagai perasa, saya tumbuk sekali sesudu udang kering. Biasanya saya lebih suka guna ikan bilis. Tetapi bila jengah gerobok, ikan bilis dah abis daaa... Itu yang guna udang kering.

Ada lagi satu bahan saya lupa. Ubi kentang. Sebiji ubi kentang dikupas dan dipotong 6. Sebiji aje? Jangan hairan. Padanlah untuk kami berdua. Bukan ramai nak makan pun. Jadi, ini menu untuk seorang atau berdua ya. Tak sesuai untuk keluarga yang ramai. 

Cara masak pun mudah aje. Tuangkan dua sudu minyak masak ke dalam periuk kecil. Bila minyak dah panas, tumis bawang dan udang kering. Oh ya, ada ketika saya buat masak tumis air ini dengan menumbuk beberapa biji lada hitam bersekali dengan bawang. Selain daripada ia mewangikan tumisan, ia memberi rasa pedas. Tetapi kali ini saya tidak masukkan lada hitam. Bimbang tekak kering disiang hari. Hanya menggunakan sedikit hirisan lada merah yang kurang impak kepedasannya hehe...

Apabila tumisan agak garing, masukkan secawan air dan kentang. Tutup periuk dan biarkan sehingga kentang masak. Agak-agak dah lembut, tambah lagi secawan air dan masukkan fucuk kering. Biarkan dalam 2 minit dalam keadaan periuk ditutup. Setelah itu barulah masukkan brokoli. Untuk pengetahuan, brokoli cepat masak dan lembut. Tidak seperti sepupunya bunga kobis. Jadi, anda jangan ralit (leka). Rasanya dibiarkan 2 minit sudah memadai. Setelah itu, perasakan kuah dengan sedikit garam dan secubit gula (untuk balance). Akhir sekali, saya masukkan suhun dan hirisan lada dan tutup api dapur. Biarkan suhun mengembang (warnanya bertukar menjadi jernih) dan bolehlah dihidangkan.

Tara...ini dia hasilnya.


p/s: Lauk ini kami makan bersama ikan sebelah goreng garing dan telur masin. Kenyang!





22 July 2012

Selepas seminggu

Ihya ramadhan...

Syukur alhamdulillah. Tahun ini, bukan sahaja saya menyambut ramadhan bersama siDia yang tersayang, malah Allah memberi kenikmatan kepada saya untuk berpuasa di rumah sendiri. Sesuatu yang saya tidak jangka akan berlaku pada tahun ini, tetapi sentiasa berdoa dan mengharap ianya menjadi kenyataan.

Apa khabar anda di sana? Hari ini hari kedua kita sama-sama menunaikan ibadah puasa. Saya doakan ibadah saya dan anda juga diberkati dan memperolehi pahala. Awal dinihari, saya cuba bangun awal untuk memasak lauk sahur untuk kami berdua (sesuatu perkara yang baru). Sebelum ini, saya seperti bujangan yang lain - hanya makan apa yang ada. Kadangkala langsung tidak bersahur pagi. Memadai makan pada malam sebelumnya.

Selepas seminggu di tempat kerja baru, saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri. Adat kerja, teramat berbeza sekali dengan kebiasaan saya. Memandangkan ini pertama kali saya bekerja di institusi, saya sendiri masih kabur dengan keperluan dan pelaksanaan. Sedetik di hati, ada kerisauan untuk memenuhi tanggungjawab ini. Mampu atau tidak.

Namun itulah dugaan untuk saya. Allah memperkenankan doa saya dan disertakan dengan dugaan untuk menguji kekuatan diri. Doa saya lagi, "Ya Allah, kuatkanlah semangatku untuk bekerja di sini. Berilah aku ketabahan menempuhi dugaanMu. Kurniakanlah sifat-sifat pemimpin yang mulia dalam diriku. Jauhilah aku sifat-sifat keji yang Engkau benci. Semoga aku beroleh kejayaan dalam pekerjaan ini, Amin..."



13 July 2012

Inilah harinya

Setelah lama menanti, hari ini adalah hari terakhir saya di Pulau Pinang (moga-moga lain kali saya mai sini dengan jawatan lain pula hehehe...). Saya masih siapkan beberapa kerja kerana tidak buat penangguhan bertugas. Sambil-sambil itu, snap gambar sana-sini sebagai kenangan yang akan dirindui.

Meja yang sentiasa penuh dengan barang
Macam buat promosi pulak
Lepas ni dah takde la gambar wanita bertudung kuning tu
Hari ini kami buat pot luck. Aktiviti rutin hujung minggu bekerja. Wing kami memang rajin buat makan-makan. Hampir saban minggu. Bagi saya, inilah yang merapatkan hubungan kami. Membaja kemesraan. Menerbit kegembiraan. Tapi jangan salah anggap. Time kerja tetap buat kerja. Time kerja pun masih boleh mengunyah hehehe...itu biasa.


Pelbagai lauk-pauk. Ni untuk lunch. Sesi breakfast tadi tak sempat nak snap makanan dah abis ;)

Maskot makanan hari ini. Kek yang disponsor oleh Pn. Shikin

Alahai...berat hati nak meninggalkan kawan-kawan. Namun demi bangsa dan negara ku teruskan langkah...ewahhh... Takdelah. Seperti yang saya maklumkan, ini cuma perpisahan jarak. Saya dah berpesan pada mereka, jika ada aktiviti luar selepas ini, jangan lupakan saya. Saya tetap nak join. 

Sahabat selamanya

Istimewa untuk mereka (semua di Pulau Pinang, terutama di dalam gambar ini), terimalah lagu ini.

Selamat tinggal bunga ku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruan ku
Jasa mu untuk diri ku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu dimana nak tujukan
Setitik airmata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira ku kirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesanan ku
Jaga baik diri mu sendiri

( Lagu : Johar Bahar / Ahmad Wan Yet - Lirik : Johar Bahar )
Sumber :
http://www.liriklagumuzika.com/2008/08/selamat-tinggal-bungaku-sm-salim.html#ixzz20TbncOwL


11 July 2012

BERTUKAR!!

Syukur Alhamdulillah...

Saya baru sahaja menerima surat makluman bahawa permohonan saya untuk bertukar ke Sungai Petani telah diluluskan. Saya diminta lapor diri pada 16 Julai iaitu minggu depan. Hati gembira tatkala membaca surat itu hinggakan zahir tak terucap.

Bila saya beritahu siDia, dia juga mengucapkan Alhamdulillah. Penantian beberapa bulan untuk hidup berdampingan bakal tertunai. Saya tidak perlu lagi meninggalkan dia di subuh Isnin dan bertemu semula lewat maghrib Jumaat. Saya tidak perlu lagi menanti 5 hari untuk melihat wajahnya.

Kepada yang bakal ditinggalkan...terutama anggota unit saya, dalam kegembiraan itu ada terselit rasa sedih. Sedih kerana selepas ini entah bila lagi kan bertemu. Jika bertemu, mungkin bilangan ahli sudah berubah. Tidak seperti sekarang. Sedih juga kerana bunyi riuh-rendah suara mereka hanya terpahat dalam memori. Tiada lagi sahut-menyahut dari hujung sana ke hujung sini.

Lagi sedih kerana selepas ini saya tidak lagi menjadi ahli pot luck. Walaupun masakan saya selalunya tak sedap (ada je kurang itu, terlebih ini) tetapi masak tetap masak hehehe...

Sedih memang sedih...tetapi hati saya lebih sedih setiap kali meninggalkan siDia. Syukurlah kali ini Allah memberkati permintaan saya. Saya mohon, agar saya dikuatkan iman dan semangat untuk terus berkhidmat di tempat baru.

Perpisahan saya dengan mereka di sini hanyalah sekadar jarak, bukan silaturrahim yang telah tersimpul kemas di sanubari.


5 July 2012

Muara Ikan Bakar Kuala Perlis

Wajib dikunjungi.

Itulah ayat yang saya katakan apabila bercerita mengenai tempat ini. Anda tidak perlu ragu-ragu untuk datang. Pilihan makanan laut yang segar, suasana nyaman dan anda juga boleh pilih jenis masakan yang diidamkan. Mereka semua handal memasak.

Hotel Putra Brasmana
Lokasinya terletak di persisiran pantai Kuala Perlis berhadapan Hotel Putra Brasmana. Saya pernah menyebutnya dalam post mengenai sosej jumbo di sini. Selain dari ikan, udang, ketam, kepah dan kerang, anda boleh menikmati udang mantis@lipan atau mentarang (jika bernasib baik). Selalunya ia bergantung kepada musim.

Pelbagai jenis ikan: jenahak, siakap, merah dll

Ada kerang biasa, kerang besar dan kepah

Ketam bunga dan udang mantis (bekas merah)
Kami telah cuba banyak gerai di sini. Tetapi akhirnya kami sepakat dan menyukai masakan di gerai no.3. Sangat rekomen kepada anda. Makan apa? Ok, siDia memang pakar dalam menu makanan laut ni. So, pilihan citarasa saya serahkan kepadanya. Saya tau makan aje...hehehe...


Udang mantis masak sambal

Ketam masak kicap

Kerang besar bakar

Ikan jenahak panggang basah

Air asam pedas & manis

Macam biasa nescafe tarik untuk siDia dan oren untuk saya
Banyak? Memang pun banyak untuk 2 orang. Siap orang sebelah jeling-jeling tengok meja kami penuh dengan lauk. Tapi saya makan sikit je (ehem..ehem..). Takdelah...memang makan sampai sengkak perut. SiDia memang tak suka bazirkan makanan. Sebab itu kalau nak makan seafood, kena time betul-betul teringin baru kami makan.

Terliur tak? Haa...bolehlah ajak family ke sana hujung minggu ni. Ajak buah hati lagi baik. Makan-makan boleh eratkan kasih-sayang tau. Contoh macam orang yang menulis ni (tunjuk pada diri sendiri).

Baiklah, sekali lagi saya ulang, wajib dikunjungi. Keseluruhan harga makanan kami malam itu ialah RM72. Memang berbaloi!